LAHAD DATU : Penduduk Terkejut Jumpa Grenad Aktif



LAHAD DATU - Penduduk Kampung Tanjung Batu yang pulang ke rumah masing-masing, semalam terkejut apabila menjumpai sebutir peluru grenad M203 yang masih aktif di kawasan rumah mereka.

Peluru itu dijumpai ketika penduduk membersihkan rumah kesan pertempuran antara pihak keselamatan negara dengan pengganas Kiram pada 6 Mac lalu.

Madali Hassan, 60, berkata, peluru itu dijumpai oleh anak saudaranya yang bermain di tepi rumah ketika ahli keluarga lain sibuk mengumpul kelongsong-kelongsong peluru untuk diletakkan di tepi jalan.

Wartawan Sinar Harian secara kebetulan berada di lokasi dimaklumkan oleh Madali mengenai penemuan tersebut dan kami terus bergegas ke rumahnya.

Tinjauan mendapati, penduduk sudah meletakkan peluru itu di kawasan belakang rumah kerana bimbang peluru boleh meletup pada bila-bila masa.

“Kami benar-benar terkejut apabila menjumpai peluru ini, saya terus arahkan semua ahli keluarga saya menjauhi peluru tersebut.

“Saya juga bimbang jika ada lagi peluru yang masih hidup, sudah pasti ia boleh mencedera atau membunuh sesiapa sahaja,” kata Madali yang juga pernah berkhidmat sebagai anggota Wataniah di Pulau Pinang selama 15 tahun.

Katanya, selepas penemuan ini, dia bimbang untuk membenarkan ahli keluarganya bermalam di rumah walaupun pihak berkuasa sudah memberikan kebenaran kepada penduduk untuk pulang ke rumah.

“Malam ini (malam semalam), kami akan menumpang tidur di rumah saudara, bila kawasan ini benar-benar selamat barulah kami masuk semula,” katanya.

Seorang lagi penduduk di kawasan tersebut, Munaidah Albani, 49, berkata, penemuan peluru hidup ini merisaukan lagi penduduk kampung untuk menjalani kehidupan mereka.

Katanya, trauma melihat kesan-kesan tembakan di segenap sudut rumah sudah cukup menyedihkan, apatah lagi ditambah dengan penemuan peluru-peluru aktif.

“Saya yakin ada banyak lagi peluru-peluru hidup di sini, saya sudah arahkan anak-anak saya memberitahu jika menemui peluru seperti ini.

“Apapun kami redha dengan apa yang berlaku, kami harap pihak berwajib boleh membersihkan kawasan ini,” katanya.

Selepas pemeriksaan, anggota polis memberitahu peluru itu dipercayai tercicir daripada pelancar ketika pertempuran sedang berlangsung. Sebagai langkah keselamatan, kawasan itu ditanda dan menunggu skuad pemusnah bom tiba.

ZALIM : Sudahlah Dilanggar , Di Ratah Pulak. Nasib Seorang Gadis



TELUK INTAN - Bukan sahaja patah tangan kiri  akibat terjatuh selepas bergesel dengan sebuah kereta tetapi seorang gadis yang menunggang motosikal seorang diri  di sini turut dirogol oleh pemandu kereta yang melanggarnya.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, gadis  berusia 22 tahun itu bekerja di salah sebuah kilang di Kampung Ayer Itam dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Chui Chak, Langkap kira-kira 7.30 malam, Sabtu lalu.

Menurutnya, setiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa bergesel dengan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun.

Menurutnya, pergeselan itu mengakibatkan mangsa terjatuh ke dalam semak dan mengalami patah tangan kiri serta jari kanan.

“Lelaki itu berpura-pura mahu menolong mangsa selepas terjatuh dan mengangkat mangsa masuk ke bahagian belakang kereta sebelum merogol gadis berkenaan.

“Mangsa dalam keadaan separuh sedar dan dalam kesakitan, tidak mampu untuk melawan suspek daripada melakukan perbuatannya itu,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak (IPD) Hilir Perak, di sini, semalam.

Kok Liang berkata, selepas melakukan perbuatan jijik terhadap gadis itu, suspek memberitahu nama dan nombor telefon sebenarnya kepada mangsa sebelum gadis itu minta lelaki tersebut menghantarnya pulang ke rumah.

Jelasnya, suspek bersetuju untuk menghantar mangsa pulang dengan syarat tidak memberitahu perbuatan jijik yang dilakukan itu kepada keluarga gadis berkenaan sebaliknya memberitahu suspek hanya bantu mangsa daripada jatuh motosikal.

"Suspek menghantar mangsa pulang ke rumah dan berjumpa dengan bapa mangsa ketika membawa pulang gadis itu.

"Selepas suspek pulang, mangsa memberitahu kepada ibunya mengatakan dia menjadi mangsa rogol dan satu laporan polis dibuat di Balai Polis Langkap pada hari yang sama," katanya.

Kata beliau, gadis itu juga dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk menjalani pemeriksaan dan mendapati ada kesan koyakkan baru pada kemaluannya.

Tambahnya, dengan nombor telefon yang diberikan suspek kepada mangsa membantu pihak polis mendapatkan maklumat penting bagi menjalankan siasatan.

“Berdasarkan nombor telefon itu, membawa kepada penemuan tempat tinggal lelaki berkenaan di Sungai Manik sebelum satu pasukan ke rumah suspek, kelmarin.

“Ketika  polis ke rumah suspek, lelaki tersebut tiada di rumah namun,  kami meminta kepada bapa lelaki itu untuk datang ke balai polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Kok Liang berkata, pada hari yang sama, suspek  datang ke Balai Polis Langkap dan kini lelaki itu ditahan reman bagi membantu siasatan.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek juga cuba merogol seorang wanita berusia 38 tahun di jalan Sungai Tungku menggunakan cara sama pada Sabtu lalu, kira-kira jam 6.20 petang.

"Suspek menggunakan modus operandi yang sama dengan cuba melanggar motosikal yang ditunggang mangsa yang juga seorang kerani sehingga jatuh.

"Wanita berusia 38 tahun itu berhenti tepi jalan sebelum suspek turut turun dari kereta lalu membuka bonet," katanya.

Melihat tindakan suspek mencurigakan wanita itu cuba melarikan diri tetapi ditahan lelaki berkenaan sebelum mangsa terjatuh dalam semak.

Beliau menambah, suspek cuba merogol mangsa tetapi menghentikan perbuatannya apabila sebuah kereta jenis Kancil berhenti berhampirannya sebelum lelaki itu melarikan diri.

“Wanita itu membuat laporan polis berkenaan kejadian tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Hasil daripada ujian air kencing suspek negatif tetapi, lelaki itu mengaku ada menghidu gam sebelum kejadian,” katanya.

CEGHITA BALING : SMK Jerai Akui Belum Ada Rezeki.




Baling: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai menduduki tempat ketiga keseluruhan Kejohanan Padang & Balapan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Baling Sik, baru-baru ini.

SMK Siong diibaratkan cencaru makan petang apabila merampas kedudukan naib juara milik SMK Jerai dengan memungut tujuh emas pada hari terakhir. Namun kekecewaan SMK Jerai terubat apabila mengekalkan anugerah Olahragawati Kejohanan kali kedua berturut-turut dan ketiga sejak 2010. Kali ini anugerah itu milik Siti Jamilah Mohamad Sopian yang bukan saja memenangi dua emas acara 100m dan 200m berpagar, malah memecahkan rekod kedua-dua acara dengan catatan 18.75 dan 36.66 saat. Pengurus pasukan Mohd Hazam Md Hashim berkata, atlet berusaha menjuarai kejohanan ini sebagai hadiah persaraan pengetua. “Mungkin tiada rezeki,” katanya merujuk kepada rekod SMK Jerai yang pernah menjadi naib juara kejohanan ini pada 2010 dan 2011.

BREAKING NEWS : 63 rumah di tiga kampung di Kodiang teruk dipukul ribut.





JITRA: Sebanyak 63 rumah di tiga kampung di Kodiang dekat sini rosak teruk terutama di bahagian bumbung selepas dilanda ribut petang semalam.

Kejadian kira-kira 6 petang itu melibatkan 45 rumah di Kampung Paya Pida Satu, 13 di Kampung Pida Empat dan lima di Kampung Kandis dengan jumlah kerugian keseluruhan hampir RM1 juta.

Tiada sebarang kemalangan jiwa dalam kejadian itu.

Seorang mangsa kejadian itu, Habsah Ahmad, 69, dari Kampung Paya Pida Satu berkata ketika kejadian, dia bersama tiga anak dan menantu serta tiga cucunya berusia antara tiga bulan dan lima tahun berada di rumah.

Katanya dia yang terdengar bunyi deruman angin kencang sehingga bumbung rumahnya diterbangkan angin melarikan diri dengan menaiki kereta milik anaknya bersama keluarganya untuk mencari tempat selamat.

"Masa tu makcik lihat zink terbang.

Makcik jadi takut dan bawa cucu berusia lima tahun selamatkan diri.

Makcik syukur semua anggota keluarga makcik termasuk cucu berusia tiga bulan selamat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

BREAKING NEWS : 15 buah rumah di Kampung Puah Lembah, Sentul.




Kuala Lumpur: Sebanyak 15 buah rumah di Kampung Puah Lembah, Sentul, di sini, musnah dalam kebakaran petang tadi menyebabkan penduduknya kini tinggal sehelai sepinggang selepas api merebak dengan cepat.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, kebakaran terbabit berpunca daripada sebuah rumah yang tidak berpenghuni tiba-tiba terbakar sebelum merebak ke kediaman lain malah angin kuat ketika itu menyebabkan api merebak dengan cepat.

Pengarah Bomba Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 3.27 petang dan tiba ke tempat kejadian beberapa minit kemudian.

Menurutnya, api berjaya dikawal setengah jam kemudian dan kebakaran terbabit membabitkan 15 buah rumah yang telah dibina lebih 20 tahun lalu.

LAHAD DATU : Ops Daulat Akan Diteruskan Walau Dalam Pilihan Raya



Operasi Daulat akan tetap diteruskan bagi membina keyakinan penduduk tentang aspek keselamatan walaupun wujud kemungkinan Parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum (PRU) ke-13 diadakan dalam tempoh terdekat.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata operasi ini memerlukan pasukan keselamatan untuk terus bersiap siaga di Pantai Timur Sabah sehingga tahap keselamatan di paras tertinggi dan saki-baki penceroboh militan Sulu dihapuskan.

"Kita tidak tahu bila PRU.

Di pihak kita, tugas menjaga keselamatan kampung-kampung yang terlibat adalah menjadi keutamaan.

"Ini termasuk anggota kita ditempatkan dan berkampung di kawasan rumah penduduk," katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Timbalan Pengarah 1 Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman, Datuk Abd Rahman Hussin.

Beliau berkata selain menambah anggota yang ada, aset juga dikekalkan di kawasan operasi dan kawasan kampung yang telah dikenal pasti sebelum ini bagi menambah kekuatan pasukan keselamatan.

AWAS : Perkhidmatan Cuci Emas



Polis menumpaskan sindiket penipuan mencuci barang kemas yang bertindak menghakis emas mangsa dengan menggunakan sejenis bahan kimia selepas menahan dua lelaki warga China dan seorang wanita tempatan Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata bertindak hasil maklumat dan risikan sepasukan pegawai dan anggota bahagian Siasatan Jenayah Komersil sejak sebulan lepas, pihaknya berjaya mengesan dua lelaki dan seorang wanita berusia 30 hingga 40 tahun berkenaan di terminal tambang murah di Sepang, Selangor.

"Ketika ditahan mereka mahu ke China dan dipercayai untuk menjual emas yang telah dicuri.

Bersama mereka ketika itu kita turut merampas beberapa ketulan emas dan barangan kemas bernilai lebih RM70,000," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Raub, Pahang dipercayai tempat sindiket terbabit beroperasi sejak dua tahun lepas dengan menipu orang ramai di seluruh negara.

"Di rumah berkenaan kita merampas beberapa lagi barang kemas pelbagai bentuk, peralatan membuat atau membentuk emas, tiub gas dan tong gas serta wang tunai.

Selain itu, polis turut menemui beberapa bahan kimia yang dipercayai digunakan untuk menghakis emas," katanya.

Bomoh Siam Celop Tersungkur.



Setelah dipercayai memperdaya sekian ramai orang sejak 2005 dengan menyamar sebagai bomoh Siam, menjanjikan kemenangan pertaruhan nombor ekor, seorang lelaki berumur 30 tahun ditahan polis dan direman.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata suspek berumur 30 tahun itu ditahan di Alor Setar, Kedah pada 27 Mac lepas apabila dipercayai terlibat dalam empat kes penipuan di sekitar Taiping dan Manjung di sini.

"Suspek juga dipercayai memperdaya mangsa di negeri lain iaitu Negeri Sembilan, Johor, Kuala Lumpur dan Selangor hingga menyebabkan mangsa sanggup memasukkan wang berpuluh ribu ringgit ke dalam akaun suspek," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan, polis mendapati modus operandi suspek ialah mengedarkan risalah ke rumah mangsa, menyatakan bahawa orang awam akan memenangi nombor ekor dengan bantuan bomoh Siam.

"Mangsa yang terpedaya dengan risalah itu akan menghubungi suspek dan suspek pada awalnya akan menyamar sebagai pembantu bomoh dan selepas itu sebagai bomoh Siam.

BREAKING NEWS!!! Nak Kaya Jom Pi TEMERLOH



Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) dengan kerjasama Sektor Rukun Tetangga Bandar Mentakab, akan membayar kepada orang ramai RM2 bagi setiap ekor tikus yang mereka tangkap dalam kempen menghapus haiwan perosak itu.

Anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan Mentakab Datuk Chuah Boon Seong berkata kempen selama seminggu mulai semalam itu bagi menangani masalah tikus di bandar Mentakab dan kawasan perumahan sekitarnya.

"Orang ramai boleh menyerahkan tikus yang ditangkap itu kepada pihak penganjur," katanya di sini hari ini.

"Dianggarkan terdapat lebih 7,000 ekor tikus liar di bandar Mentakab dan sekitar taman perumahan," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...