BINATANG : Mayat bayi baru lahir ditemui dalam semak.



Ampang: Satu mayat bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemui dalam semak berhampiran kebun pisang di Lorong Kancil, Kampung Klang Gate, di sini, dipercayai dibuang individu disyaki ibu bayi itu, petang semalam.

Mayat bayi yang cukup sifat dan masih bertali pusat itu ditemui kira-kira jam 3.45 petang oleh seorang lelaki yang melalui kawasan itu sebelum memaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, mayat berkenaan yang dibungkus dalam kain ditinggalkan berhampiran pokok pisang sebelum suspek bertindak melarikan diri bagi mengelakkan disedari orang awam yang melalui kawasan itu. Katanya, polis mendapat maklumat daripada seorang lelaki yang mengesyaki penemuan terbabit adalah mayat bayi yang sengaja dibuang. “Hasil siasatan forensik mendapati bayi berkenaan baru ditinggalkan di kawasan itu,” katanya.

Koyak Menang ganti Gores Dan Menang



Menggunakan istilah koyak dan menang, satu sindiket penipuan dilaporkan mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit selepas memperdaya puluhan mangsa dengan menjanjikan pelbagai hadiah lumayan.

Difahamkan, kumpulan terbabit akan menghampiri mangsa di pusat beli-belah sebelum menawarkan sekeping baucar yang diminta dikoyakkan sebelum menjanjikan pelbagai hadiah lumayan.

Namun, hadiah dan barangan dimenangi mangsa sebenarnya barangan tiruan.

Modus operandi sindiket penipuan itu didedahkan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli yang berkata, taktik itu terbongkar dengan penangkapan 12 suspek membabitkan lapan lelaki dan empat wanita di sebuah restoran di Panglima Garang, Selangor, Selasa lalu.

“Sindiket ini menggunakan modus operandi memberi baucar pelbagai nilai seperti RM100 hingga RM1,000 bagi pembelian peralatan elektrik. Sebagai contoh, harga ditawarkan RM3,238 kepada mangsa dan mangsa cuma perlu membuat pembayaran sebanyak RM2,238 sahaja selepas ditolak jumlah baucar yang dimenangi.

“Suspek kemudian meminta kad ATM mangsa, kononnya bagi menyemak baki wang dalam akaun,” katanya memberitahu, duit milik mangsa akan dipotong secara langsung berdasarkan harga dijanjikan.

Yahaya berkata, semakan mangsa dengan bank kemudian mendapati potongan dibuat berhubung pembelian barangan elektrik.

“Biasanya suspek menyasar individu berusia antara 30 dan 60 tahun serta aktif di kawasan tumpuan ramai seperti pusat beli-belah Carrefour dan Mydin,” katanya menambah baucar akan diberi kepada mangsa yang hanya perlu mengoyaknya.

Kaki judi ugut isteri, belasah anak di balai polis



Alor Gajah: Angkara ketagih berjudi, seorang lelaki pertengahan umur dipercayai tergamak membelasah dan mengugut isteri serta anak sulungnya menyerahkan wang di pekarangan Balai Polis Masjid Tanah, di sini, semalam.

Sebelum kejadian, suspek berusia 50-an itu dikatakan membelasah anak lelakinya berusia 21 tahun menggunakan topi keledar sebelum dihalang isterinya, jam 8 pagi.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila ibu remaja itu berusia 45 tahun yang juga warga Indonesia dikatakan enggan menyerahkan RM500 diminta suaminya.

Difahamkan, suspek yang tidak bekerja suka berjudi dan seringkali meminta wang daripada keluarganya sejak beberapa tahun lalu. Sumber berkata, pada pagi kejadian, mangsa menerima panggilan daripada ibunya mengatakan suspek membuat kecoh di tempat kerjanya di kedai makan di pekan ini.

“Remaja itu yang kebetulan dalam perjalanan ke rumahnya di Tanjung Bidara terus ke tempat kerja ibunya sebelum membawa wanita itu keluar dari kedai makan berkenaan. “Suspek yang tidak berpuas hati mengekori kereta dipandu anak bersama isterinya sehingga ke pekarangan Balai Polis Masjid Tanah,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, bapa mangsa terus meluru ke arah kereta anaknya yang berhenti di pekarangan balai polis lalu menariknya keluar sebelum membelasah remaja itu bertubi-tubi menggunakan topi keledar.

Katanya, ibu mangsa meminta bantuan daripada anggota di balai polis berkenaan menyebabkan suspek beredar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan laporan mengenai kejadian itu.

Anggota Polis Parah Cium Pipi Lori Tangki.


Seorang anggota polis dari Balai Polis Kuala Pilah parah apabila motosikal ditunggangnya bergesel dengan lori tangki di Kilometer 2, Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir, dekat Kampung Gentam, di sini, semalam.

Sebelum itu, Lans Koperal Mohd Aswan Mohd Isa, 28, yang menunggang motosikal Yamaha LC dikatakan cuba mengejar lori tiga tan yang sebelum itu terbabit kemalangan kecil dengan kereta Honda Jazz dipandu seorang wanita, Norbini Abu Samah, 23, yang ditemani rakannya, Bachtiar Kamaruzzaman, 28, di depan pasar raya di Jalan Melang, dekat sini, jam 10.50 pagi.

Menurut Bachtiar, susulan kemalangan kecil itu, pemandu lori tiga tan terbabit berasa tidak puas hati dan memakinya menyebabkan pertengkaran kecil antara mereka.

“Pemandu lori beredar sebelum saya cuba mengejarnya dan pada masa sama menghubungi Balai Polis Kuala Pilah bagi mendapatkan bantuan,” katanya ditemui di Balai Polis Trafik, Jalan Melang.

Katanya, Mohd Aswan dikatakan cuba mengejar lori tiga tan itu dan sebaik tiba di selekoh di Kampung Gentam, anggota polis itu dikatakan cuba memintas lori terbabit, tetapi motosikalnya bergesel dengan lori tangki dari arah bertentangan dan hilang kawalan.

“Saya yang mengekori dari belakang melihat anggota itu terpelanting ke kereta saya manakala lori tiga tan itu terus memecut laju meninggalkan tempat kejadian.

“Saya memberhentikan kereta dan membantu anggota polis itu bersama orang awam,” katanya.

Menurutnya, anggota yang parah di kepala dan patah kaki kanan itu dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Pilah yang tiba tidak lama kemudian.

Kemalangan itu mengakibatkan kesesakan jalan raya lebih satu kilometer, namun dikawal polis yang menjalankan tugas di kawasan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Azmi Abdul Rahim mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Ah Soon Tersungkur.



Geng Ah Soon yang bergiat aktif melakukan sekurang-kurangnya 15 kes pecah rumah sekitar Lembah Klang dan melarikan pelbagai kereta mewah dianggarkan jutaan ringgit sejak tahun lalu tumpas apabila ketua sindiket terbabit ditahan dalam sebuah kereta di Bukit Antarabangsa, di sini, Isnin lalu.

Ketika ditahan pada jam 4.30 petang itu, ketua kumpulan terbabit dikenali sebagai Ah Soon turut berada bersama dua lagi ahli kumpulannya berusia 24 dan 39 tahun.

Polis turut merampas peralatan pecah rumah, tiga komputer riba, wang tunai berserta dua set walkie-talkie dalam kereta mereka.

Berikutan penahanan itu, polis menyerbu beberapa lokasi berasingan dan menahan lima lagi ahli geng berkenaan termasuk seorang wanita.

Siasat lanjut, polis merampas tujuh lagi kenderaan curi daripada kumpulan itu membabitkan nilai rampasan dianggarkan RM1.5 juta.

Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, siasatan mendapati suspek ditahan itu adalah kumpulan sama yang terlepas ketika dikejar polis di Jalan Chan Sow Lin 4, April lalu selepas mereka cuba melarikan sebuah kereta Toyota Harier yang sebelum itu dicuri di Ampang.

Menurutnya, dalam kejadian itu, suspek yang menaiki kereta Mercedes Benz C 200 berwarna hitam melarikan diri dalam serbuan polis di kawasan terbabit, namun polis merampas semula kereta Toyota Harier yang diletakkan berhampiran tempat kejadian.

“Pada 8 April lalu, anggota unit MPV yang menjalankan rondaan mengesan sebuah kereta Toyota Camry di Bukit Antarabangsa dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan mereka.

“Hasil pemeriksaan menemui pelbagai peralatan pecah rumah, parang, komputer riba, walkie-talkie dan beberapa set kunci kereta mewah sebelum mereka dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, semalam.

Amiruddin berkata, hasil soal siasat mendapati mereka kumpulan sama yang bergiat aktif sejak tahun lalu melakukan pecah rumah dan melarikan kenderaan mewah.

“Susulan itu, polis menyerbu rumah suspek dan lokasi tempat penyimpanan barang di sekitar Lembah Klang sebelum merampas sebuah kereta Proton Waja yang dilaporkan hilang di Petaling Jaya pada 17 Mac lalu, 13 kunci kereta pelbagai jenis, lapan alat penggera kereta, tiga kad kredit dan tujuh keping Touch N Go.

“Siasatan lanjut seterusnya membawa pasukan polis ke Serdang dan merampas sebuah kereta Mercedes Benz C 200 yang diletakkan di tepi jalan dan kereta terbabit adalah kenderaan sama ketika kejadian di Jalan Chow Sow Lin 4 serta dilaporkan hilang pada 2 April lalu di Wangsa Melawati,” katanya.

Beliau berkata, pada jam 2.10 petang Selasa lalu, polis menyerbu sebuah rumah di Seri Kembangan dan menahan empat lelaki dan seorang wanita serta merampas pelbagai kunci kereta.

“Kami merampas dua kereta iaitu Proton Perdana dan Toyota Altis yang masing-masing dilaporkan hilang di Petaling Jaya dan Sungai Besi.

“Dalam tangkapan terbaru petang kelmarin, polis menemui sebuah kereta BMW 320i warna hitam di Batu 9, Cheras yang dilaporkan hilang pada 4 April lalu,” katanya.

Menurutnya, semua suspek berusia 24 dan 39 tahun itu kini direman sehingga Isnin ini bagi siasatan kes samun, pecah rumah dan melarikan kereta di sekitar Ampang Jaya.

“Malah, semua mereka positif dadah jenis syabu dan mempunyai 11 rekod jenayah lampau membabitkan dadah, curi kenderaan dan pecah rumah,” katanya.

Anak Dan Bapak Setan.



Bimbang dicekup, seorang bapa meninggalkan anak lelaki dan seorang lagi rakannya ditahan polis ketika memecah masuk sebuah rumah di Subang Jaya, di sini, 6 April lalu.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, lelaki berusia lewat 40-an terbabit menunggu anak dan seorang rakannya dalam kereta Volkswagen Golf di luar rumah berkenaan sebelum nekad merempuh kereta peronda polis untuk melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, suspek yang menunggu dalam kereta merempuh kereta peronda yang cuba menghampirinya sebelum keluar daripada kenderaan itu dan melarikan diri.

“Biarpun suspek meloloskan diri, tetapi polis menahan dua suspek yang berada dalam rumah itu.

“Seorang daripadanya yang berusia 32 tahun adalah anak suspek yang melarikan diri. Manakala, seorang lagi rakan jenayahnya berusia 33 tahun,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Yahaya berkata, hasil pemeriksaan lanjut, polis merampas lima video kamera, sebuah beg berisi pelbagai peralatan dipercayai untuk kegiatan memecah rumah. Polis turut menemui sebuah kereta Toyota Vios yang dilaporkan hilang tahun ini. “Selain itu, kami merampas sebuah kereta Proton Preve yang menggunakan nombor plat palsu dan dilaporkan hilang di Damansara,” katanya. Katanya, siasatan lanjut juga mendapati seorang daripada suspek yang ditahan mempunyai tiga rekod jenayah sejak tahun lalu dan positif dadah. Kumpulan penjenayah pecah rumah itu dipercayai terbabit dalam 20 kes samun sejak awal tahun ini.

Mohon Share. Kanak2 Hilang.


Kuala Lumpur: Keluarga Muhammad Yunus Yazaljala merayu kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan anak mereka sejak Rabu lalu menghubungi balai polis berhampiran.

Bapanya, Yazaljala Muhamad Noor, 53, berkata, anaknya itu yang berusia sembilan tahun pada mulanya keluar bermain bersama adik lelakinya, Muhammad Yaakub, berusia lima tahun berhampiran kediaman mereka di Bandar Tasik Puteri, Rawang jam 5.30 petang.

Menurutnya, selepas selesai bermain, anaknya itu tidak pulang ke rumah sebaliknya hanya Yaakub yang pulang bersendirian dan memberitahu Yunus menaiki sebuah kereta.

“Malah dakwaan anak bongsu saya itu disokong kakaknya keesokan harinya selepas pulang dari sekolah apabila memberitahu rakan Yunus ada ternampak anak saya itu menaiki kereta di kawasan perumahan kami.

“Yunus adalah anak keempat daripada lima adik-beradik dan mempunyai ramai rakan. Saya pada mulanya menyangka anak saya itu pulang semula namun sehingga kini masih tidak menerima khabar berita,” katanya.

Difahamkan, Yunus berpakaian kemeja-T hitam dan seluar jean biru pada hari kejadian.

Beliau juga membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Tasik Puteri Rawang, pada jam3.30 petang Khamis mengenai kehilangan anaknya itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau berjumpa Yunus boleh menghubungi talian 019-6053591 atau menghubungi balai polis berhampiran.

Tiada Ampun Untuk Puak Cantas Mencantas..



Pemimpin dan ahli UMNO yang mensabotaj calon Barisan Nasional (BN), akan dikenakan tindakan disiplin tanpa perlu menunggu Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) selesai.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO hanya menerima mereka yang taat kepada parti termasuk berpegang kepada aku janji dibuat untuk menyokong sesiapa saja calon yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Ada jawatankuasa pemantauan yang sudah dilantik bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen. Laporan akan dihantar terus ke ibu pejabat dan tindakan tidak akan ditunggu selepas pilihan raya, sebaliknya dibuat ketika pilihan raya berlangsung.

“Tindakan disiplin akan dilakukan kerana Pengerusi Jawatankuasa Disiplin (UMNO) sudah mengumumkan beberapa tindakan ditetapkan. Sukar untuk diterima mereka yang melakukan sabotaj sebab kita hanya menerima ahli parti yang taat setia saja,” katanya selepas menyampaikan bantuan sempena Majlis Mesra Rakyat di Kampung Sungai Batang di sini, semalam.

Beliau mengulas kemungkinan ada bekas wakil rakyat tertentu yang akan mensabotaj parti selepas tidak terpilih sebagai calon pada PRU-13.

Pertengahan bulan lalu, Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO Tengku Ahmad Rithauddeen, mengingatkan ahli mengelakkan sebarang perbuatan mensabotaj calon yang dipilih untuk bertanding dan jika berbuat demikian, tindakan tegas akan dikenakan ke atas mereka, termasuk menyingkir daripada parti ataupun menggantung keahlian mereka.

Justeru, katanya, setiap daripada mereka perlu akur kepada aku janji sebagai pemimpin dengan memberikan sokongan dan menghidupkan jentera parti untuk kemenangan cemerlang semua calon BN.

HOT!!! Perangkap Nikah Batin. Renungan Untuk Wanita.



“Mereka bentang sejadah dan duduk berdepan sambil berjabat tangan. Seorang daripada mereka menjadi jurunikah dengan melafazkan akad aneh. Antara lafaz itu ialah bersaksikan Allah, berwalikan malaikat di kiri dan kanan.”

Demikian pendedahan wanita mahu dikenali sebagai Umi, 24, ketika menceritakan pengalamannya hadir untuk ditemu duga sebagai pembantu rumah, namun terperangkap dan menjalani acara ‘nikah batin’ sebelum dirogol majikannya.

Umi berkata, kejadian itu berlaku Februari lalu selepas dia terbaca iklan mencari pembantu rumah yang disiarkan di akhbar dan berminat dengan pekerjaan itu.

Tanpa sebarang prasangka buruk, Umi yang berasal dari utara tanah air berkata, dia menghubungi nombor telefon yang tertera pada iklan berkenaan sebelum datang ke ibu negara untuk menjalani sesi temu duga.

“Sebaik sampai di Pudu Sentral, saya dijemput seorang lelaki berusia 60-an yang memperkenalkan diri sebagai majikan sebelum dibawa ke sebuah hotel untuk bertemu pembantunya,” katanya.

“Bila saya bertanya mengapa perlu ke hotel, dia memberitahu pembantunya menunggu untuk sesi temu duga,” katanya.

Maut Di Bidik 12 Peluru.



Seorang pegawai kanan operasi sebuah syarikat keselamatan maut di dalam keretanya selepas ditembak bertubi-tubi oleh dua penyerang bermotosikal di persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Ujong, berhampiran Taman Labu, dekat sini, petang semalam.

Sebelum kejadian, mangsa, J James, 45, dikatakan memandu kereta Honda Accord seorang diri dan berhenti di persimpangan lampu isyarat sebelum didatangi dua lelaki menunggang Honda EX5 dan pemboncengnya yang melepaskan beberapa das tembakan mengenai tubuh mangsa, jam 1.50 petang.

Saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian, dia berada di dalam kereta dan hanya berselang dua kereta di depan kereta mangsa.

Katanya, dia mendengar beberapa das tembakan sebelum dua lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh melarikan diri.

“Saya melihat semua kenderaan lain beredar dari tempat kejadian sebelum saya menghubungi polis memaklumkan kejadian itu,” katanya.

Hanya Empat Yang Terselamat.



“Kebakaran berlaku pantas dan saya hanya mampu menolak empat kereta pelanggan keluar dari bengkel ke kawasan selamat manakala yang lain hangus terbakar,” kata Mohd Arrifaei Muad, 33, pemilik bengkel kereta yang musnah terbakar di Kampung Kempadang di sini, lewat petang semalam.

Menurutnya, ketika kejadian hanya dua pelanggan berada di bengkel manakala dia keluar memandu uji kereta pelanggan yang baru dibaiki.

“Saya rasa baru dua minit saya keluar dan sebaik balik semula ke bengkel, ternampak asap tebal di belakang bengkel.

“Dengan bantuan orang ramai, kami sempat menyelamatkan beberapa kereta sebelum api mula marak.

“Kerugian dialami hampir RM50,000 kerana empat kereta dan sebuah lori satu tan milik pelanggan musnah sepenuhnya. Sebuah lagi kereta terbakar kira-kira 10 peratus di bahagian depan.

“Selain itu pelbagai barangan bengkel, alat ganti kenderaan dan bangunan bengkel yang disewa musnah,” katanya yang ditemui di tempat kejadian.

Pekerja Hotel Cemas Terperangkap Dalam Mesin Basuh Industri.



Seorang pekerja di hotel mengalami detik cemas 15 minit apabila dia terperangkap di dalam mesin basuh industri ketika bertugas di bahagian dobi premis berkenaan di Jalan Conlay, di sini, semalam.

Ketika kejadian, pekerja lelaki berusia 35 tahun itu dipercayai memeriksa bahagian dalam mesin basuh itu apabila dia tergelincir ke dalam lubang mesin basuh itu sebelum gagal keluar akibat pintunya terhalang.

Menurut sumber, kejadian disedari kakitangan hotel jam 9.15 pagi selepas mendengar jeritan mangsa. Mereka cuba mengeluarkan mangsa tetapi gagal.

“Mangsa dipercayai tergelincir ke dalam mesin basuh itu akibat permukaan yang licin manakala pintu mesin basuh automatik itu berpusing dan menghalang bahagian pintu.

Tiga beranak pengganas kiram didakwa



Tiga beranak yang dituduh menganggotai kumpulan pengganas antara 11 individu dihadapkan ke Mahkamah Tinggi, di sini, semalam atas tuduhan melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Tertuduh, Salib Akhmad Emali bersama dua anaknya, Binhar dan Anwar serta lapan lain didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Lapan lain, Virgilio Nemar Patulada @ Mohammad Alam Patulada, Aiman Radie, Ismail Yasin, Masir Aidin, Tani Lahad Dahi, Abdul Hadi Mawan, Al-Wazir Osman@Abdul dan Julham Rashid juga didakwa mengikut seksyen sama.

Semua warga asing itu turut menghadapi tuduhan menganggotai kumpulan pengganas dan didakwa mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Salib Ahmad turut menghadapi dua lagi pertuduhan iaitu merekrut orang lain sebagai anggota pengganas dan melindungi pengganas.

PENYAMUN DURJANA : Sudahlah samun, Kelar, Paksa Minum Racun.




Sitiawan: Bukan saja diculik dan wang RM60,000 disamun, malah badan seorang lelaki turut dikelar sebelum dipaksa minum racun sehingga mati.

Demikian nasib kontraktor, Ong Tee Kong, 53, angkara perbuatan kejam empat penjenayah sebelum dia disahkan meninggal dunia jam 9.05 malam kelmarin.

Sumber polis berkata, kejadian bermula dengan Ong ditahan empat lelaki terbabit ketika dia menunggang motosikal berhampiran Ayer Tawar sebelum dibawa ke sebuah tokong di Sungai Wangi, di sini, Selasa lalu.

Menurutnya, dalam kejadian jam 4 petang itu, suspek merampas RM60,000 dibawa mangsa sebelum dia diseksa di dalam tokong.

“Difahamkan, penjenayah mengelar dada dan badan mangsa berulang kali dengan pisau. Mangsa yang berlumuran darah dibawa ke kawasan perkuburan berhampiran sebelum dipaksa minum racun berwarna hijau dan dibiarkan menggelupur.

PUSINGAN MAUT : Seorang Kanak - Kanak Menjadi Yatim Piatu Sekelip Mata.



Raub: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun menjadi yatim piatu sekelip mata apabila ibu bapanya terbunuh selepas motosikal dinaiki tiga beranak itu dirempuh kereta ketika sedang membuat pusingan U di kilometer 341, Jalan Raub-Kuala Lipis, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal Modenas Kriss, Mohd Fareez Ramli, 26, dari Kampung Pia, Dong, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Isteri Mohd Fareez yang membonceng, Siti Mariam Hashim, 25, disahkan meninggal dunia di Hospital Raub (HR) ketika menerima rawatan manakala anak lelaki pasangan terbabit, Danial Fitri Syahmi berusia dua tahun cedera ringan di kepala dan kini masih dirawat di HR.

Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Wan Samsuddin Wan Osman berkata, kejadian berlaku selepas motosikal dinaiki tiga beranak itu yang dalam perjalanan menghala ke Kuala Lipis dari Raub dipercayai cuba membuat pusingan U secara mengejut.

Bagaimanapun menurutnya, pada masa sama pemandu kereta Proton Tiara, Wan Ahmad Firdaus Wan Dzulkifli, 25, dari Kampung Bukit Betong, Kuala Lipis, bersama seorang penumpang dipercayai tidak sempat mengelak berikutan jarak terlalu dekat lalu merempuh motosikal itu.

LAHAD DATU TERKINI : Senjata Api Disembunyikan Dalam Paya



Lahad Datu: Satu persatu helah pengganas termasuk menyembunyikan senjata api yang digunakan ketika menceroboh di pantai timur Sabah dapat ‘dibaca’ oleh pasukan keselamatan negara.

Terbaru, pasukan tentera yang melakukan operasi pembersihan dan fasa penstabilan menemui sejumlah senjata api yang disembunyikan di dalam paya dan ditanam di sekitar Kampung Tanduo serta kampung berhampiran.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, selain senjata api (senjata berat dan ringan), pasukan keselamatan turut menemui pakaian seragam, pakaian awam serta beberapa barang lain milik pengganas.

“Walaupun jumlah barangan yang ditemui termasuk senjata api tidak banyak, operasi penggeledahan tetap dilakukan berterusan.

“Saya yakin saki-baki pengganas yang jumlahnya kurang dari 10 orang itu semakin berkurangan. Justeru, pasukan keselamatan meningkatkan risikan bagi mengesan pengganas yang masih ada,” katanya di sini, semalam.

MAUT : Tauke Ditetak Lapan Lelaki.




Subang Jaya: Seorang pemilik restoran maut manakala tiga lagi parah selepas ditetak lapan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Batu 14, Puchong di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa, P Thangavellu Radhakrishnan, 25, yang juga pemilik restoran maut akibat parah di kepala manakala tiga lelaki lain termasuk dua yang sedang menunggu burger dipesan berhampiran kawasan kejadian turut diserang.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, sebaik menerima maklumat, sepasukan polis dihantar ke lokasi kejadian.

“Pemeriksaan awal mendapati seorang maut manakala tiga cedera dalam kejadian serangan menggunakan senjata tajam itu. Ketiga-tiga yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Serdang,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.

Menurutnya, berdasarkan keterangan saksi, lapan lelaki menaiki dua kereta jenis Proton Waja berhenti di depan restoran mangsa sebelum meluru masuk ke dalam restoran berkenaan.

“Selepas suspek keluar dari restoran itu, mereka turut menyerang pemilik gerai burger dan dua pelanggannya yang berada berhampiran,” katanya.

Yahaya berkata, tiada senjata tajam ditemui di lokasi, namun pasukan forensik masih menjalankan siasatan.

“Sehingga kini, kita percaya kejadian bermotifkan dendam ekoran suspek menyerang mangsa dan tiada barang peribadi dilarikan suspek,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa T Paniselvam, 55, berkata, minggu lalu anak lelakinya itu pernah terbabit dalam satu pergaduhan di lokasi sama.

“Mereka bergaduh mengenai kereta dan satu laporan polis sudah dibuat berhubung kejadian itu. Namun, saya terkejut sebaik mendapat berita tadi (semalam) anak saya mati diserang di dalam restorannya.

“Saya percaya anak lelaki saya itu diserang orang yang sama,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Difahamkan, mangsa menetap di Batu 18 Puchong bersama keluarga dan sudah setahun menjalankan perniagaan di restoran itu.

AWAS!!! Penjual Minyak Wangi Durjana.


Assalamualaikum Wbth. Peringatan untuk semua!!! Taktik baru penyamun2, perogol2 dan penyangak2 sekarang, berlakon menjual minyak wangi dan mintak kita cium bau minyak wangi yang merupakan sejenis ubat dadah untuk penenang yang dikenali sebagai White Clay.

Taktik ini senang digunakan dan selepas mangsa pengsan, mangsa akan disamun, dan yang lebih dahsyat dirogol tanpa disedari.

P/s : Mohon Share Untuk Keselamatan Bersama. Bersama Membanteras Jenayah.....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...