Celebriti! Yatt Hamzah Tolak Watak Jahat.



PELAKON dan pengacara terkenal, Haryati Hamzah atau lebih dikenali Yatt Hamzah, hijrah yang dilakukan dirinya biarlah datang dari ruang hati yang paling dalam, secara ikhlas dan tulus.

Tampil lebih ayu dengan berhijab sejak tahun lalu, Yatt, 33, mengambil keputusan untuk berhijrah setelah terlibat dalam aktiviti usrah yang turut disertai rakan artis, Irma Hasmie yang sedikit sebanyak membuka pintu hatinya untuk bertudung.

Namun, perjalanan Yatt yang masih berusaha untuk memperbaiki diri bukanlah semudah disangka. Ini kerana dia juga tidak terlepas daripada menerima pandangan negatif masyarakat apabila niat ikhlasnya tatkala berkongsi pengalaman bertudung disalah anggap segelintir pihak yang melabelkannya sebagai riak.

Sebagai seorang anak seni, perjuangan dalam bidang itu mesti diteruskan walaupun sedikit terkesan dengan tohmahan yang dilontarkan kerana Yatt akui langsung tidak terdetik di hatinya untuk bermegah-megah dengan penghijrahannya.

Selepas berhijrah, kehidupan yang dilalui Yatt juga adalah berbeza pengisiannya kepada cara hidup Islamik dan tidak melampaui batas yang sentiasa menerima sokongan padu daripada insan terdekat.

Ternyata penghijrahan Yatt tidak pernah menutup pintu rezekinya kerana sehingga kini dia masih menerima tawaran lakonan seperti biasa. Cuma dia sendiri yang kadang-kadang terpaksa menolak kerana tidak bersesuaian dengan imej barunya.

"Alhamdulillah, semenjak bertudung ini banyak tawaran lakonan yang saya dapat tetapi saya terpaksa menolak dengan cara baik.

"Ini kerana, kebanyakan watak memerlukan saya membuka tudung. Walaupun hanya seketika seperti babak di rumah, saya tidak sanggup melakukannya, maka lebih baik saya menolak tawaran itu," katanya ketika ditemui selepas pelancaran produk kecantikan, Felinna Beauty baru-baru ini.

Yatt ketika ditemui pada majlis pelancaran itu berasa bangga dan bersyukur kerana dilantik sebagai duta jenama berkenaan dengan mengikat kontrak selama setahun.

Peluang demi peluang dibuka kepada wanita bertudung seperti Yatt dan dia akui serta bersyukur kerana pintu rezekinya tetap terbuka di cabang lain.

"Walaupun aktiviti lakonan itu mula dikurangkan tetapi saya percaya rezeki sentiasa ada. Rezeki yang Allah beri kepada umatnya amat luas," katanya.

Menurut Yatt, sejak penghijrahannya itu, selain tawaran berlakon, dia juga didatangi rezeki-rezeki lain. Ini termasuk kerap menerima undangan sebagai ahli panel di forum-forum agama atau motivator terutama sekali kepada pelajar di IPTA atau IPTS.

"Sekarang, ia sudah menjadi periuk nasi saya yang baru, di mana boleh dikatakan saban minggu saya diundang ke majlis-majlis di universiti dan masjid untuk berkongsi pengalaman saya.

"Saya bukan ustazah, saya baru hendak bermula. Cuma saya diundang sebagai selebriti yang mempunyai ramai pengikut untuk berkongsi pengalaman. Sebelum dan selepas apa yang perlu kita buang untuk rasa tidak takut untuk berhijrah," katanya.

Memang hasrat untuk membabitkan diri kepada aktiviti keagamaan diidamkan sejak bertudung, Yatt tidak menyangka pembabitannya itu telah memberi pengalaman baru yang langsung tidak pernah dijangka olehnya sebelum ini.

"Mulanya, saya agak gugup juga apabila perlu bercerita soal agama di forum-forum memandangkan ilmu saya yang tidak seberapa ini. Namun, lama kelamaan saya semakin seronok.

"Saya dapat berkongsi pengalaman sendiri bertudung dan seterusnya memberi inspirasi kepada wanita yang memiliki keinginan untuk memakainya," katanya merendah diri.

Selain terlibat dalam forum, Yatt juga sudah mendapat tawaran untuk mengacarakan program berbentuk keagamaan di sebuah stesen televisyen.

"Terbaru saya mengacarakan sebuah program masakan atau sajian dan ini telah memberi perspektif baru dalam kerjaya pengacaraan saya kerana pertama kali mengendalikan rancangan Islamik," katanya yang terlebih dahulu dikenali sebagai model sebelum bergelar pelakon dan pengacara.

Tolak watak jahat

TIDAK mahu melanggar prinsip semata-mata mengejar tawaran lakonan, kata Yatt, dia semakin selektif dalam memilih watak agar batasannya sebagai wanita Islam sentiasa dijaga.

Berhijrah dengan memakai hijab, Yatt mengakui terpaksa menolak watak jahat keterlaluan yang ditawarkan supaya mengikut kesesuaian imejnya yang berhijab.

"Saya memang memilih watak. Tidak semua watak bertudung boleh saya ambil. Ada juga tidak sesuai dengan penghijrahan saya ini.

"Biarlah apa orang kata. Saya lakukan semua ini kerana risau jika watak jahat keterlaluan akan memberi impak negatif buat penonton. Namun saya tidak menolak sekiranya watak itu mampu memberi pengajaran kepada penonton," katanya.

Mengakui dulu sering mengambil watak-watak jahat yang ditawarkan, Yatt berkata, kini adalah sebaliknya melainkan watak itu tidak keterlaluan.

"Saya hanya menerima tawaran berlakon sekiranya diberi watak wanita yang baik atau yang memberi pengajaran kepada penonton," katanya.

Walaupun masih berlakon, Yatt akui dia tidak seaktif dulu kerana tawaran berlakon ketika berhijab mempunyai pantang larangnya tersendiri.

"Apabila kita tampil sebagai wanita bertudung, asas yang kita perlu tahu dan bentuk lakonan yang kita perlu elakkan ialah sentuhan.

"Bukan kita tidak dibenarkan bersentuhan tetapi biarlah ia berpada-pada dengan ajaran Islam dan tidak melampaui batas," katanya.

Menjawab persoalan niatnya untuk menolak watak jahat, Yatt tidak kisah kerana baginya industri seni semakin berkembang pesat dan pembabitan orang seni juga adalah daripada golongan yang pelbagai.

Tambah Yatt, menyentuh dunia lakonan, penonton kini sudah bijak dengan apa yang diinginkan dan biarlah mereka (penonton) menilai sendiri apa yang ingin disampaikan melalui lakonan itu.

"Watak jahat ada peringkat-peringkat. Tidak semua yang penonton lihat dan tengok itu akan mempengaruhi mereka. Mereka bijak dalam menilai.

"Jika dilihat penampilan saya kini, mungkin ada juga penonton suka drama Islamik. Tidak semuanya meminati drama yang berunsurkan hiburan semata-mata. Ada lagi di antara mereka yang meminati artis bertudung," katanya penuh keyakinan.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...