DALANG LAHAD DATU : Lelaki miliki maklumat penting dicari




Polis sedang mengesan Datuk Seri Muhamad Ridzwan Sulaiman (gambar kecil) bagi membantu siasatan berhubung kaitannya dalam pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna.

Lelaki yang memegang jawatan Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Al Ehsan Islamiah Malaysia itu dikatakan mempunyai maklumat penting berhubung kejadian itu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza taib, berkata polis percaya lelaki terbabit yang beralamat di Pengkalan Weld, Georgetown, Pulau Pinang, masih berada dalam negara.

“Siasatan setakat ini mendapati lelaki terbabit masih berada dalam negara, mungkin di negeri asalnya di Pulau Pinang. Ada mengatakan dia berada di ibu negara, namun kita tidak menolak kemungkinan dia mungkin bersembunyi di Sabah.

“Kita percaya lelaki ini mempunyai maklumat penting yang dapat membantu polis dalam siasatan berkaitan Ops Daulat. Justeru, kita mohon bantuan orang ramai yang mengenalinya supaya membantu polis. Kita juga minta lelaki ini tampil menyerah diri di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Mengulas perkara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata polis akan memburu mana-mana individu yang cuba menjejaskan keselamatan negara tanpa mengira pangkat atau warga negara.

“Saya tak kisah siapa dia, sama ada warga Malaysia... sama ada Datuk Seri atau sesiapa.

“Asalkan dia menjejaskan keselamatan negara dan menjadi ancaman kepada kepentingan nasional, kita tetap akan buru,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Bersama Unit Rondaan Bermotosikal (URB), di Dewan Masyarakat Sandakan, semalam.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...