Haleeda Serik Digosip



Namanya cukup popular awal 1990-an menerusi lagu Setia Kasih malah hingga kini lagunya masih sering berkumandang di radio.

Sempat menghasilkan dua album, Setia Kasih (1991) dan Terkilan (1993), Haleeda, 40, kini dikenali sebagai pelakon apabila memulakan langkah dalam dunia lakonan selepas bercerai dengan suami, Azman Adnan. Agak lama menyepi, Haleeda kembali dengan drama bersiri Bangkitnya Seorang Perempuan di TV3, sejak 13 Mac. Kali terakhir berlakon, drama Kecuali Cinta Mu di Astro Ria pada 2009.

Kehilangannya dalam dunia seni juga jadi tanda tanya kerana pernah menjadi perhatian apabila dikaitkan dengan beberapa kontroversi. Antaranya, gosip dengan pelakon handalan, Eman Manan dan insiden diserang isteri penerbit di lokasi drama dibintanginya disebabkan cemburu. Haleeda juga dikatakan menjalin hubungan dengan seorang datuk.

Tidak cukup dengan itu, Haleeda didakwa melangsungkan perkahwinan secara rahsia di Thailand dengan pelakon yang pernah membintangi filem Sembilu, akhir 2010. Haleeda yang kini manis bertudung, mengakui cerita hangat dan kontroversi berkaitan dirinya tiga tahun lalu benar-benar memalukan, apatah lagi pada waktu sama berhadapan situasi getir ibunya sakit. Katanya, walaupun sudah memberi kenyataan sebelum ini dengan tujuan mahu memberi penjelasan agar pihak terbabit mahupun masyarakat faham, hakikatnya kata Haleeda, maruah dirinya mahupun keluarga tercalar. Malah perasaan malu tidak dapat dibendung sehingga dia mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia seni.

“Selepas peristiwa itu, ibu pula jatuh sakit akibat kanser dan meninggal pada 2010. Tahun berikutnya, kakak ipar pula meninggal kerana penyakit sama. Apa yang berlaku dalam tempoh tiga tahun itu ibarat sudah jatuh di timpa tangga. “Saya benar-benar rasa sedih atas apa yang terjadi membuatkan saya seperti hilang semangat. Perasaan bercampur baur membuatkan saya berasakan tidak mahu lagi membabitkan diri dalam industri hiburan,” katanya. Kata Haleeda, sepanjang berhadapan dugaan itu, dia berasa begitu penat hingga terpaksa mengambil keputusan untuk berehat di samping berusaha memulihkan semangat mencari kekuatan.

“Bukan tidak ada yang menghubungi dan tawarkan berlakon tetapi saya berasakan apa yang terjadi sebelum ini membuatkan saya takut dan serik. Kalau boleh saya tidak mahu lagi berhadapan dengan perkara seperti itu. “Tambah pula sepanjang pembabitan saya dalam industri seni sama ada nyanyian dan lakonan, kontroversi adalah perkara pertama yang saya cuba elak. Dalam berjaga-jaga, akhirnya perkara itu berlaku juga kepada saya. “Bagaimanapun, saya tidak menyalahkan mana-mana pihak. Semua sudah berlaku. Malah saya sendiri berasakan kenyataan yang diberikan sebelum ini membuatkan keadaan menjadi bertambah buruk. Disebabkan itu, saya tidak mahu lagi memberi sebarang kenyataan mengenainya,” katanya.

Belajar daripada pengalaman lalu, Haleeda enggan berkongsi cerita mengenai status dirinya kini. Katanya, dia enggan bercerita mengenai perkahwinannya kerana ia kurang sesuai dan masih belum bersedia untuk memperkatakan perkara itu.

Kata Haleeda, dia mahu memberi tumpuan kepada anak perempuan tunggalnya, Amirah Amini Azman, 18, hasil perkahwinannya dengan bekas pemain bola sepak negara, Azman Adnan, yang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Tawaran membintangi Bangkitnya Seorang Perempuan juga pada awalnya saya tolak kerana berasakan diri belum cukup kuat untuk kembali aktif di lokasi penggambaran. Saya masih perlukan masa untuk bersendirian di samping bermuhasabah diri.

“Bagaimanapun, adik angkat saya yang juga jurusolek produksi, memujuk agar saya terima tawaran itu dan akhirnya saya terima kerana pujukan adik angkat. Kalau hendak diikutkan, saya belum bersedia untuk kembali. Sehingga sekarang pun, hati saya belum rasa mahu bekerja semula. “Rakan-rakan banyak memberi nasihat dengan mengatakan, sekurang-kurangnya saya keluar daripada ‘kepompong’ dan waktu sama diharap ia mampu memulihkan keyakinan saya,” katanya.

Bagi meneruskan kelangsungan hidup, Haleeda juga menjelaskan, sepanjang tiga tahun tidak bekerja, dia banyak dibantu keluarga memandangkan mereka tinggal bersama di samping wang simpanan yang ada. Katanya, dia tidak akan menerima semua tawaran yang datang sebaliknya harus memilih yang sesuai dengan imej bertudung. Pastinya dia harus melihat terlebih dulu kerana mahu menjaga batas.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...