KHIANAT : Bekas jeneral diminta henti kritik Ops Daulat



Lima bekas pegawai tertinggi tentera yang kini menyertai parti pembangkang diminta menghentikan perbuatan 'merosakkan minda' rakyat dengan mengeluarkan komen-komen negatif terhadap operasi keselamatan negara di Lahad Datu, Sabah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, komen-komen tersebut cuba menggambarkan seolah-olah mereka lebih pintar daripada kepimpinan angkatan tentera sekarang bagi tujuan meraih sokongan politik.

Ahmad Zahid turut menempelak komen negatif yang dikeluarkan golongan ini sambil menyifatkan 'zaman' mereka sudah berlalu.

"Mereka sahaja yang merosakkan minda orang-orang politik dan saya harap kalau mereka mahu terjun ke gelanggang politik mereka tidak mempolitikkan apa yang dilakukan oleh tentera dan polis dalam mana-mana operasi yang sedang dijalankan sekarang," katanya dalam sidang akhbar pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013 di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, bekas pegawai-pegawai tinggi itu ketika ini sibuk berkempen dengan menyebarkan dakwaan kononnya seluruh anggota angkatan tentera bersama parti pembangkang.

Ahmad Zahid memberitahu, dakwaan tersebut sama sekali tidak benar dan mereka harus mengetahui lebih 200 pegawai kanan angkatan tentera telah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak demi keselamatan negara dalam satu perjumpaan baru-baru ini.

"Terdapat beberapa cadangan agar tindakan diambil terhadap mereka tetapi kita harus melihat tujuan mereka menyentuh soal politik dan cara menyelesaikan ialah dengan cara politik juga iaitu rakyat menolak pemimpin seperti ini untuk jadi wakil rakyat," jelas Ahmad Zahid lagi.

Pada masa sama, beliau berkata, penyelesaian melalui tindakan undang-undang boleh diambil tetapi ia perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan dakwaan kononnya mereka dianiaya oleh kerajaan.

Namun beliau berkata, secara keseluruhannya, ahli-ahli politik lain termasuk pembangkang sudah tidak lagi mempolitikkan isu pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu kerana menyedari ia merupakan isu keselamatan negara.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...