Mati kena 4 das



Kuala Lumpur: Seorang wanita ditemui polis dalam keadaan tergamam dan hanya mampu menangis apabila kekasihnya mati ditembak empat das di dalam kereta BMW dinaiki mereka di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi itu mangsa yang berusia 31 tahun itu mati akibat cedera parah di dada, leher, tangan dan rusuk kiri.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, kejadian disedari anggota polis yang bertugas berdekatan tempat kejadian dan terdengar bunyi letupan sebelum bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba, mereka dapati seorang lelaki sudah berlumuran darah di tempat duduk pemandu kereta manakala seorang wanita sedang menangis di sebelahnya.

“Pada masa sama, ada empat individu dipercayai lelaki menaiki dua motosikal Yamaha LC memecut meninggalkan tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, mangsa dan teman wanitanya baru saja mendaftar masuk di hotel berkenaan kira-kira 20 minit sebelum kejadian berlaku.

Zainuddin berkata, hasil pemeriksaan terhadap mangsa, polis menemui beberapa peket disyaki dadah jenis syabu, Eramin 5 dan juga Ecstacy.

“Semakan terhadap kenderaan dinaiki mangsa turut mendapati kereta BMW itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan disamun dalam satu kejadian pecah rumah di Brickfields, Selasa lalu.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh,” katanya.

Sumber : Metro

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...