Maut Terkena 5 Das Tembakan



Seorang lelaki maut terkena lima das tembakan di kepala dan badan di hadapan kedai pusat kecantikan miliknya di Jalan PP25, Pinggiran Putra, Seri Kembangan, dekat sini, semalam.

Ketika kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa Anderson S Pillay, 37, sedang berjalan keluar dari kedainya menuju ke tempat letak kereta sebelum tiba-tiba sebuah kereta Toyota Vios berwarna hitam menghalangnya dan seorang lelaki bertopeng keluar dari kereta serta melepaskan enam das tembakan.

Bagaimanapun, hanya lima das tembakan mengenai mangsa sementara satu tersasar menyebabkan dia yang cedera parah maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abdul Razak Elias berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 6 petang dan terus bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa yang membuka pusat kecantikan itu bersama isterinya sejak tiga tahun lalu ketika kejadian baru keluar dari premisnya sebelum dia didatangi dua suspek bertopeng dan seorang daripada mereka melepaskan tembakan.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...