Pemilik Bengkel Nyaris Maut Ditembak Didada




Sabak Bernam: Seorang pemilik bengkel nyaris maut selepas cedera di bahagian kiri dadanya akibat ditembak seorang lelaki yang dipercayai menggunakan pistol jenis automatik dalam kejadian di Taman Perpaduan, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa berusia 33 tahun sedang tidur di dalam bilik utama rumah berkenaan dikejutkan apabila dua lelaki bertopi keledar masuk ke dalam biliknya.

Sebelum ditembak, mangsa dan suspek turut bertengkar dipercayai berpunca daripada perebutan kawasan pengedaran dadah di daerah ini.

Selepas berlakunya pertengkaran, suspek tiba-tiba mengeluarkan pistol dan melepaskan tiga das tembakan, satu daripadanya terkena bahagian kiri dada mangsa sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha LC.

Mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), di sini, untuk rawatan kecemasan sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...