SUSULAN GERIK : Maut Dalam Dakapan Ibu.



Tiga sekeluarga termasuk seorang bayi berusia lapan bulan maut dalam keadaan mengerikan apabila kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 18.2, Jalan Gerik - Kupang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, kereta Proton Wira dinaiki mangsa dikatakan bertembung dengan sebuah lori tanpa muatan dari arah bertentangan di selekoh berkenaan. Lebih menyedihkan apabila bayi terbabit ditemui mati dalam keadaan dipeluk ibunya di tempat duduk hadapan kereta dinaiki mangsa.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Abdul Manab Baharom berkata, pemandu kereta terbabit yang maut dikenali sebagai Zulbasseri Sharif, 30, manakala isterinya, Wan Rozila Wan Omar, 30.

Menurutnya, bayi perempuan pasangan itu yang berusia lapan bulan, Siti Wafi Syuhana Zulbasseri turut maut. “Bagaimanapun, seorang lagi anak perempuan mangsa, Siti Wafa Syuhana, dua tahun, yang duduk di tempat duduk belakang cedera parah dan kini dalam keadaan kritikal di Hospital Gerik. “Berdasarkan alamat pada kad pengenalan pemandu kereta itu, mereka dipercayai berasal dari Kampung Kuala Sedaka, Yan, Kedah,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, empat sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Kupang, Kedah ke Gerik.

“Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Gerik berusaha mengeluarkan mayat mangsa berikutan mereka tersepit di tempat duduk di dalam kenderaan.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat manakala pemandu lori berkenaan belum membuat laporan polis setakat jam 5.30 petang semalam,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga mayat masih berada di Hos pital Gerik dan setakat petang semalam, polis masih menunggu ahli keluarga mangsa.

“Saya meminta pemandu kenderaan khususnya yang melalui jalan raya sekitar Gerik supaya lebih berhati-hati sepanjang cuti persekolahan ini kerana jumlah kenderaan lebih tinggi berbanding biasa,” katanya.

Sementara itu Penolong Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik Mior Muhammad Tahir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.40 tengah hari sebelum tiba di lokasi kejadian 20 minit kemudian.

Beliau berkata, pihaknya mendapati kereta mangsa terperosok di bawah lori. “Pemandu kereta itu dalam keadaan cedera parah di kepala dan anggota bomba terpaksa menggunakan peralatan menyelamat bagi memotong bumbung kereta sebelum berjaya mengeluarkan semua mangsa.

“Isteri mangsa yang maut turut ditemui dalam keadaan memangku mayat bayinya yang turut maut,” katanya.

Pssst : Abg lori, jgn main speed ja bila x da muatan. Kesan pada org lain. Ko tu besar...

2 comments

Ya Allah, moga kita sentiasa diberi rahmat dan dijauhkan dari sebarang musibah dan kecelakaan.

Reply

Takziah. Al-fatihah buat arwah

Reply

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...