Lahad Datu Update : 9 Pembelot Di Tahan.



Sembilan lagi individu termasuk dua wanita dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Kiram berjaya ditahan oleh pasukan keselamatan di sebuah kampung di Beluran dekat sini pada malam tadi dan hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, tujuh daripada suspek yang ditahan berbangsa Sulu dari Filipina, manakala dua lagi rakyat tempatan masing-masing berketurunan Kagayan dan Melayu.

Beliau berkata, kesemua mereka berusia 20-an hingga 50-an yang ditangkap di beberapa lokasi itu dipercayai mempunyai petunjuk yang boleh dikaitkan dengan pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu.

"Tangkapan membabitkan tujuh individu dibuat pada pukul 8 malam tadi, disusuli penahanan dua lagi suspek pada pukul 10 pagi ini.

"Dalam serbuan itu, polis turut merampas dokumen, wang tunai dan peralatan yang mempunyai kaitan dengan aktiviti pengganas," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana menyokong atau terlibat dengan aktiviti pencerobohan pengganas Kiram.

Ditanya sama ada berlaku pertempuran semasa operasi penahanan itu, Hamza berkata, tiada pertempuran dan kejadian tidak diingini berlaku walaupun kumpulan pengganas itu memiliki parang sebagai senjata.

Katanya, setakat ini seramai 181 individu ditahan di bawah SOSMA dan 334 orang bagi lain- lain tangkapan.

"Pihak keselamatan juga mengenal pasti 235 pengganas terlibat dengan aktiviti pencerobohan di Lahad Datu termasuk yang ditembak mati dan ditahan di bawah SOSMA," katanya.

Dalam pada itu, Hamza berkata, pihaknya telah mengebumikan 17 mayat pengganas Kiram di satu kawasan di negeri ini tetapi tidak mendedahkan lokasi tersebut kerana faktor keselamatan.

Hamza juga menafikan berlaku tindakan tidak bermoral pihak keselamatan terhadap tahanan yang ditangkap dalam kes pencerobohan itu.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...