Tiga beranak pengganas kiram didakwa



Tiga beranak yang dituduh menganggotai kumpulan pengganas antara 11 individu dihadapkan ke Mahkamah Tinggi, di sini, semalam atas tuduhan melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Tertuduh, Salib Akhmad Emali bersama dua anaknya, Binhar dan Anwar serta lapan lain didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Lapan lain, Virgilio Nemar Patulada @ Mohammad Alam Patulada, Aiman Radie, Ismail Yasin, Masir Aidin, Tani Lahad Dahi, Abdul Hadi Mawan, Al-Wazir Osman@Abdul dan Julham Rashid juga didakwa mengikut seksyen sama.

Semua warga asing itu turut menghadapi tuduhan menganggotai kumpulan pengganas dan didakwa mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Salib Ahmad turut menghadapi dua lagi pertuduhan iaitu merekrut orang lain sebagai anggota pengganas dan melindungi pengganas.

LAHAD DATU STORY : Bayi dilahirkan dua jam sebelum pencerobohan



LAHAD DATU - Baru dua jam melahirkan bayi, seorang ibu terpaksa melupakan kesakitannya demi menyelamatkan bayi dan dua lagi anaknya daripada serangan pengganas militan yang menceroboh Kampung Tanjung Labian 3 Mac lepas.

Adawiyah Jannah Maulaha, 25, berkata beliau dan tiga anaknya itu menaiki lori bersama penduduk kampung lain selepas kampung mereka diserang pengganas militan dari Sulu itu.

"Masa tu suami berada di luar kawasan dan kami bertemu di pusat pemindahan ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Embara Budi di Felda Sahabat 17, dekat sini.

Adawiyah Jannah berkata beliau melahirkan bayinya pada pukul 6.30 petang dan ketika berehat kira-kira dua jam selepas itu, beliau mendengar penduduk kampung menjerit 'lari, lari'.

"Saya bergegas ambil bayi dan dua anak lagi terus keluar dari rumah dan menaiki lori. Semasa mula-mula tiba di sini, saya sedih dan menangis melihat keadaan kami ini, tapi bersyukur kerana selamat,” katanya sambil memberitahu bayi perempuan yang dilahirkan itu kini berusia 21 hari dan diberi nama Wan Mauleyanana Amanie Azzyati.

Beliau yang bersyukur kerana selamat daripada ancaman pengganas militan itu, bagaimanapun berkata mereka rindu untuk pulang ke rumah dan berharap ancaman pengganas Sulu dapat dihapuskan segera. - Bernama

Wajah Panglima Sulu Yang Diberkas [Gambar]



Pasukan keselamatan hari ini mengesahkan panglima tentera Sulu yang ditangkap di Semporna semalam ialah Datu Amir Bahar Hushin Kiram.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata lelaki berusia lewat 40-an yang juga menteri pertahanan Sulu itu bertindak sebagai panglima yang memberi arahan sejak pencerobohan di Lahad Datu 12 Feb lepas.

"Dia kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012," katanya pada sidang akhbar bersama Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di Markas Operasi Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini.

Semalam, pasukan keselamatan menahan seorang pemerintah kumpulan penceroboh itu bersama isterinya di sebuah kawasan paya pada pukul 1.30 pagi.

Mengenai penduduk Kampung Tanduo yang dipindahkan, Khalid berkata pihaknya telah mencapai persetujuan bersama ketua-ketua keluarga dan ketua kampung itu untuk membawa mereka masuk ke kampung berkenaan Selasa ini.

Langkah itu adalah sebahagian daripada proses penilaian yang sedang dijalankan Majlis Keselamatan Negara dan mereka akan diiringi pegawai daripada Pejabat Daerah Lahad Datu dan pasukan keselamatan.

Mengenai statistik terkini Operasi Daulat, Khalid berkata sehingga kini 416 individu ditangkap dan daripada jumlah itu 110 orang ditahan mengikut Sosma.

Dua tangkapan terbaharu Sosma itu ialah panglima tentera Sulu terbabit dan isterinya.

 

Sementara itu, Zulkifeli berkata kawasan Kampung Tanduo kini bersih sepenuhnya daripada ancaman pengganas dengan bilangan pasukan keselamatan yang ditugaskan di kampung itu turut dikecilkan.

Mengenai Operasi Daulat, beliau berkata operasi itu masih diteruskan.



"Kini, fokus utama Operasi Daulat ialah meneruskan pembersihan di kawasan Kampung Tanjung Batu dan yakin ia mampu diselesaikan dalam masa terdekat," katanya. - BERNAMA

Gempar!!! Dalang Simunul Tumpas. Suluk!!!



Suspek rancang serang hendap menyebabkan enam anggota keselamatan terkorban di Semporna

Dua pengganas termasuk seorang digelar Pemerintah Tentera Sulu dipercayai perancang serang hendap di Kampung Simunul, Semporna yang menyebabkan enam anggota keselamatan terkorban, pada 2 Mac lalu, ditangkap semalam.
Berikutan itu, pasukan keselamatan yakin dapat melumpuhkan pergerakan saki baki pengganas yang masih bersembunyi di beberapa lokasi di sini dan Semporna.

Taraf sama dengan Menteri Pertahanan

Pemerintah Tentera Sulu warga Filipina berusia lewat 40-an yang tarafnya sama dengan Menteri Pertahanan itu ditahan bersama isteri dalam operasi pasukan keselamatan di Semporna, jam 1.30 pagi semalam.

LAHAD DATU. Seminggu Masa Yang Diperlukan Untuk Menilai Kerosakan.



Lahad Datu: Proses penilaian tahap kerosakan dan keselamatan penduduk Kampung Tanduo dekat sini, oleh pasukan keselamatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dijangka mengambil masa seminggu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang, berkata proses penilaian sudah bermula kelmarin membabitkan pasukan keselamatan, MKN dan majlis daerah yang dibenarkan memasuki kampung berkenaan.

“Kita menjangkakan pasukan penilaian itu mengambil masa seminggu sebelum keputusan dibuat, sebelum membenarkan penduduk pulang ke kediaman masing-masing.

Penilaian perlu dilakukan secara terperinci kerana ini membabitkan nyawa penduduk bagi memastikan tiada sebarang ancaman pengganas,” Datuk Tan Kok Liang, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah

“Penilaian perlu dilakukan secara terperinci kerana ini membabitkan nyawa penduduk bagi memastikan tiada sebarang ancaman pengganas,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan, pasukan penilaian itu ditubuhkan untuk menilai tahap kerosakan dan kerugian dialami penduduk kampung terbabit sejak Ops Daulat dilancarkan pada 5 Mac lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata, penilaian turut dibuat dari segi aspek keselamatan penduduk sebelum mereka dibenarkan pulang dan menjalani kehidupan seperti biasa.

LAHAD DATU. Saki baki pengganas kini makin tertekan



Saki baki pengganas di Lahad Datu kini berada dalam keadaan tertekan selepas sebahagian rakan mereka ditangkap dan didakwa di mahkamah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata penahanan dan pendakwaan itu memberi kelebihan kepada pasukan keselamatan negara kerana musuh sudah terdesak untuk mencari cara bagi melepaskan diri.
“Pasukan keselamatan kita lebih yakin dan bersemangat untuk terus berjuang bagi memastikan kumpulan pengganas dapat dihapuskan dalam masa terdekat seterusnya memastikan keselamatan dan keamanan dapat dikekalkan.

Pasukan keselamatan kita kini lebih yakin dan bersemangat untuk terus berjuang bagi memastikan kumpulan pengganas dapat dihapuskan dalam masa terdekat” Ismail Omar, Ketua Polis Negara

Kukuh pasukan keselamatan

“Kita mempunyai pelan jangka pendek iaitu mengukuhkan kehadiran dan kawalan pasukan keselamatan di semua kawasan sensitif, termasuk perkampungan atas air, pinggir pantai dan sekitar kawasan Felda Sahabat di Lahad Datu,” katanya.

Pelan jangka panjang ialah kewujudan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) sepanjang 1,400 kilometer di pantai timur Sabah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutup Persidangan Ketua Polis Negeri, Pesuruhjaya Polis Sabah dan Sarawak, Komandan/Komander Maktab Polis, Pusat Latihan Polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, semalam.
Ismail juga memaklumkan, keadaan keselamatan di Sabah kini semakin pulih dan terkawal, berikutan kehadiran besar pasukan keselamatan selain logistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Bergerak ikut pelan strategik

“Kita sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dan bergerak mengikut pelan strategik yang dirangka untuk menghadapi sebarang bentuk ancaman pada masa depan selepas kita belajar daripada kesilapan dan kekurangan semasa Ops Daulat,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak RM2 juta berjaya dikumpul untuk Tabung Wira Lahad Datu dan Tabung Kebajikan PDRM melalui sumbangan pelbagai pihak termasuk swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai.

Semalam, 10 individu menyampaikan sumbangan kepada Ketua Polis Negara sebagai menghargai jasa wira negara yang terkorban di Lahad Datu.

Penduduk selatan Filipina anggap Azzumudie sebagai wira



Ketua kumpulan pengganas Kiram, Azzumudie, dipandang sebagai wira oleh penduduk selatan Filipina kerana berjaya mengelak daripada ditangkap oleh pasukan keselamatan Malaysia, menurut seorang penulis di akhbar Filipina, Daily Inquirer.

Dalam kolumnya berjudul 'As I see It, wartawan veteran, Neal H. Cruz menyamakan Azzumudie dan rakyat Filipina yang didakwa ditindas di Sabah dengan kaum orang asli Amerika Syarikat (AS) dan keturunan Afrika yang menderita selama berdekad-dekad kerana dianiaya oleh peneroka imigran dari Eropah.

Cruz berkata, walaupun jika Azzumudie ditemui mati, dia tetap akan disanjung sebagai wira.

Beliau turut menyifatkan Presiden Filipina, Benigno Aquino sebagai orang yang perlu dipersalahkan kerana tindakannya dalam menangani krisis di Sabah yang 'mendatangkan kemarahan'.

"Beberapa tahun dari sekarang, kisah tentang Kesultanan Sulu dan pahlawannya serta bagaimana mereka ditindas dan dianiaya oleh kerajaan Malaysia dan Filipina akan diceritakan secara berulang kali di rumah-rumah penduduk selatan Filipina.

"Buku akan ditulis tentang mereka dan filem akan diterbitkan, cara sama seperti kisah orang asli AS dan penduduk AS keturunan Afrika disampaikan," tulis wartawan itu.

Beliau turut membidas pentadbiran Aquino kerana mengisytiharkan kesanggupan mereka untuk 'berunding', sedangkan kerabat Kiram didakwa dari mula lagi mahu rundingan diadakan.

Lahad Datu ‘Saya diarah, dibayar seseorang’



Tawau: “Saya diarah dan dibayar oleh seseorang. Saya amat bodoh kerana melakukan semua ini,” kata Holland Kalbi.

Dia dan tujuh lagi lelaki warga Filipina berusia 17 hingga 66 tahun menyatakan demikian sewaktu didakwa di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, atas tuduhan menjadi kumpulan pengganas ketika ditahan dalam Op Daulat.

Lelaki berkumis itu berkata demikian dalam bahasa Bajau selepas Hakim P Ravinthran bertanya sama ada dia ingin menyatakan sesuatu kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Ravinthran berkata, kenyataan Holland tidak akan dipertimbangkan tetapi hanya direkodkan mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Holland dan lima tertuduh lain iaitu Atik Hussin Abu Bakar, Basad H Manuel, Lin Mad Salleh, Habil Suhaili dan Timhar Hadir didakwa menjadi anggota pengganas di Kampung Tanjung Labian, Kampung Tanduo, Jalan Kastam, di Lahad Datu, dekat sini.

Gempur empat pengganas



LAHAD DATU: Satu pertempuran berlaku antara pasukan keselamatan dengan sekumpulan pengganas di sebuah rumah tinggal di Kampung Kembara Sakti Felda Sahabat tengah malam tadi.

Menurut sumber, pasukan keselamatan menggempur rumah berkenaan yang menjadi tempat persembunyian sekumpulan empat pengganas bersenjata yang dilaporkan menawan seorang suri rumah selama dua jam, petang semalam untuk mencari makanan.

Pasukan keselamatan juga dikatakan mengepung setiap penjuru Kampung Kembara Sakti bagi memastikan kumpulan kecil pengganas itu tidak dapat melarikan diri.

Sehingga awal pagi ini, tiada pengesahan daripada pihak berkuasa tentang jumlah kematian atau tangkapan pengganas terbabit, bagaimanapun sumber pasukan keselamatan mengesahkan usaha dijalankan bagi menumpaskan kumpulan pengganas bersenjata yang dikatakan lolos daripada kepungan di zon merah itu.

Terdahulu petang semalam, sekumpulan empat lelaki bersenjata dipercayai saki baki pengganas yang melarikan diri daripada kepungan pasukan keselamatan bertindak mengikat tangan dan kaki seorang wanita di Kampung Kembara Sakti selama kira-kira dua jam sebelum menggeledah rumah mangsa bagi mencari makanan.

Ketika kejadian, kira-kira jam 2 petang itu, suri rumah berusia 40-an sedang berada di dalam rumah manakala suaminya keluar bekerja.

Menurut jiran mangsa dikenali sebagai Mutiya Mambalusah, 41, kemunculan empat lelaki bersenjata itu secara tiba-tiba mengejutkan jirannya itu kerana kampung berkenaan terletak kira-kira 25 kilometer dari Kampung Tanduo dan tidak dikategorikan dalam zon merah sebaliknya diisytihar sebagai kawasan selamat.

“Sebaik memasuki rumah, seorang daripada lelaki itu yang boleh berbahasa Melayu meminta makanan manakala dua yang lain bersembunyi di atas loteng mungkin sebagai persediaan jika ada orang lain memasuki rumah.

“Apabila dimaklumkan tiada makanan, mereka terus mengikat kaki dan tangan jiran saya sebelum menggeledah rumah itu untuk mencari makanan,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, jirannya itu berjaya membuka ikatan berkenaan dua jam kemudian sebelum bertindak melarikan diri ke rumahnya.

“Saya yang terkejut dengan kejadian itu kemudian terus membantunya melarikan diri sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis. Ketika itu tidak diketahui sama ada kumpulan terbabit masih berada dalam rumah jiran saya itu,” katanya.

Mutiya berkata, sebaik laporan polis dibuat, pasukan keselamatan kemudian mengarahkan semua penduduk berpindah ke masjid berhampiran.

Nama 2 perwira Terengganu yang terkorban diabadi pada nama jalan



Kerajaan Terengganu akan mengabadikan nama dua perwira negara berasal dari negeri ini yang terkorban dalam insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu pada nama jalan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, ia sebagai tanda memperingati jasa dan pengorbanan mereka iaitu Asistan Supritendan (ASP) Zulkifli Mamat dan Asistant Komisioner (ACP) Ibrahim Lebar.

"Kami akan menamakan jalan di tempat kelahiran mereka sebagai tanda peringatan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan RM50,000 masing-masing kepada keluarga kedua-dua perajurit itu di Kampung Kubang Ikan dan Jabi, Jerteh di sini hari ini.

Ahmad turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri juga menawarkan pinjaman pendidikan di bawah Yayasan Terengganu (YT) kepada kedua-dua anak Allahyarham Ibrahim yang sedang menuntut di sebuah universiti di Mesir dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat.

Balu Allahyarham Ibrahim, Rosiah Dahlan, 40, mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah banyak membantu keluarganya.

"Saya sangat bersyukur kerana kerajaan negeri banyak membantu dan wang sumbangan tersebut akan saya gunakan untuk merealisasikan impian arwah yang ingin melihat ketiga-tiga anak saya berjaya.

"Sumbangan ini sangat bermakna untuk kami harungi kehidupan selepas kehilangan ketua keluarga yang menjadi tempat kami berteduh," katanya.

Ibu Allahyarham Zulkifli, Khatijah Ismail, 62, menerima sumbangan mewakili menantunya Noraziah Noor, 30, yang tidak dapat hadir kerana kurang sihat.

"Saya akan serahkan wang ini kepada isteri arwah, terpulang kepadanya sama ada untuk dibuat upah haji atau untuk kegunaan pelajaran anak-anak," katanya selepas menerima sumbangan daripada Menteri Besar.

Guru hina pasukan keselamatan dibebas sementara dengan jaminan polis



Guru yang didakwa menghina pasukan keselamatan di Lahad Datu melalui laman sosial Facebook miliknya dibebaskan sementara hari ini dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Supritendan Mohd. Kamal Zainal berkata, ini berikutan perintah tahanan reman terhadap guru itu selama tujuh hari telahpun berakhir.

"Suspek kini dibebaskan sementara dengan ikat jamin polis sehingga siasatan mengenai kes itu lengkap dan akan merujuk kembali kes berkenaan kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Guru berusia 37 tahun yang bertugas di sebuah sekolah di Tok Bali ditahan kira-kira 7 malam Khamis lepas di sebuah rumah di Jalan Panglima Raja, Kampung Gong Serapat di sini.

Guru sekolah rendah itu dilapor membuat kenyataan menghina pasukan keselamatan sebagai 'anjing' dan menganggap kematian mereka sebagai 'mati kata'" dalam laman sosial Facebooknya.

Kronologi Operasi Daulat 16-21 Mac



Insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah masih berterusan dengan usaha mengesan dan membersih saki-baki pengganas dipertingkat pasukan keselamatan bagi mengembalikan keyakinan masyarakat berhubung tahap keselamatan di kawasan terjejas dengan peristiwa itu.

Langkah itu telah memecahkan benteng penceroboh yang kini dipercayai bergerak dalam kumpulan kecil di kawasan zon merah Operasi Daulat selain beberapa lagi musuh ditembak mati dan ditangkap pasukan keselamatan dalam beberapa pertempuran.

Berikut adalah kronologi selepas 17 hari Operasi Daulat bagi menangani pencerobohan pengganas Filipina di Lahad Datu, Sabah:

16 Mac - Polis dalam peringkat akhir bagi menyiapkan kertas siasatan terhadap 27 suspek yang ditahan di daerah Semporna, dipercayai terlibat dalam insiden serangan hendap di Kampung Simunul pada 2 Mac lepas.

17 Mac - Pasukan keselamatan mencadangkan kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) penempatan haram di beberapa perkampungan air di daerah Semporna dibersihkan bagi memastikan kawasan itu bebas daripada anasir keganasan serta aktiviti haram seperti penyeludupan senjata api dan dadah.

17 Mac - Pasukan keselamatan Operasi Daulat menembak mati seorang pengganas Sulu dari selatan Filipina dalam operasi di Kampung Tanjung Batu.

17 Mac - Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib memberitahu 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan Operasi Daulat telah selesai dibedah siasat.

17 Mac - Pelaksanaan Kawasan Keselamatan Khas Sabah (ESSCOM), meliputi 1,400 kilometer kawasan pantai timur negeri itu, bermula di gugusan Felda Sahabat dengan menaik taraf struktur logistik.

19 Mac - Empat pertempuran berlaku antara pengganas dan pasukan keselamatan yang menjalankan operasi menggeledah dan menjejaki musuh di kawasan Tanjung Batu, tiada kecederaan dilapor dalam pertempuran itu.

20 Mac - Lapan lelaki suspek pengganas dari selatan Filipina didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, atas pertuduhan keganasan dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dan Seksyen 121 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

21 Mac - Sehingga kini, 268 orang ditahan kerana memasuki zon merah kawasan operasi dan pelbagai kesalahan manakala 108 ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

21 Mac - Lapan warga Filipina berdepan hukuman mati dan penjara seumur hidup selepas didakwa di Mahkamah Tinggi Tawau atas pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong dan menganggotai kumpulan pengganas.

Guru Hina Pejuang Negara... Gurukah Dia???

KLIK BUTANG SHARE 

Assalamualaikum wbth..
Tak habis2 manusia buat hal, lepas satu, satu lagi timbul, kita tahu besar jasa pendidik kepada negara, kepada kita, tanpa pendidik, tidak akan ada polis dan tentera, Jasamu dikenang Guru.

Tapi kerana nila setitik, rosak susu sebelanga, admin tahu ramai guru-guru x bersetuju dengan pendapat dalam gambar diatas, bayangkanlah sedang anggota2 keselamatan negara bersabung nyawa melawan musuh, dia kat sini bersabung fb menghina anggota keselamatan negara.

Kadang2 apa yang kita nak suarakan, kena juga kita fikir perasaan ibu bapa, isteri2, anak2 anggota keselamatan negara, Satu negara mendoakan keselamatan pejuang2 negara tapi lain pula jadinya dengan seorang guru nih. 

1 - Maybe dia nak cari publisiti murahan kot. Tak sabar nak TOP meletop..
2 - Dia memang anti pihak keselamatan, ni mesti spesis yang suka langgar undang2 nih..
3 - Tensen yang teramat sangat kot sebab buat masa sekarang ni profesion anggota keselamatan disanjung tinggi.
4 - Dia ni tak tahu menahu tentang etika anggota keselamatan, sebab ikrar dia sebagai guru tak ada kot sampai sanggup menggadai nyawa demi tanah air tercinta. (guru2 lain admin akui beretika) admin tujukan ini untuk gambar di atas.

Yang lain korang yang baca leh tambah kat ruangan komen.
Kalau nak list ikut hati panas admin, panjang lagi nih..

Komen jangan x Komen...
Sekian.

TAKTIK GERILA PENGGANAS SELATAN FILIPINA TIDAK BERKESAN TERHADAP MALAYSIA


Lahad Datu, 19 Mac - Biarpun berpengalaman dalam peperangan
gerila di selatan Filipina sejak 1899, taktik gerila pengganas dari Sulu yang menceroboh pesisir pantai Lahad Datu sejak 12 Feb lepas, tidak mampu melumpuhkan pertahanan negara.

Sebaliknya pasukan keselamatan negara terutama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang juga telah lama menggunakan taktik serangan gerila termasuk ketika berhadapan ancaman komunis antara 1984 dan 1989, berjaya melumpuhkan kumpulan militan itu.

"Keampuhan taktik gerila pengganas menceroboh negara dan kini berkubu di Tanjung Batu tidak mampu menandingi taktik pasukan keselamatan di negara ini. 

"Ini dibuktikan dengan jumlah pengganas yang ditembak mati sehingga kini mencecah 62 orang," kata Panglima Medan Tentera Darat Lt Jen Datuk Seri Zulkiple Kassim.

Zulkiple berkata taktik ATM itu sentiasa dipertingkat dan diperkemas dengan pelbagai latihan dan penambahan inventori aset pertahanan bagi memastikan kedaulatan negara sentiasa dijaga.

"Kita satu-satunya negara di dunia ini yang memenangi peperangan dengan komunis melalui taktik gerila," katanya.

Dalam Operasi Daulat, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin pula berkata pasukan keselamatan menggempur dengan melancarkan serangan mortar dan senjata berat ke arah musuh sebelum memasuki kawasan kubu mereka untuk penggeledahan dan mencari musuh.

"Taktik ini diguna bagi memastikan keselamatan anggota kerana selain cabaran keadaan bentuk muka bumi seperti hutan, paya dan ladang, musuh yang mahir dengan kawasan ini, menggunakan taktik gerila penembak tepat," katanya.

Antara persenjataan musuh ialah rifel Garand dan M-16 yang diguna penembak tepat dan tembakan curi kerana senjata itu mempunyai jarak tembakan sejauh 550 meter. 

Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak empat tahun lalu, turut menyumbang kepada kejayaan Operasi Daulat untuk membanteras pengganas itu.

Perkara itu diakui Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar apabila tahap keselamatan di pantai timur Sabah dapat dipulihkan kepada tahap normal, hanya dalam tempoh dua minggu Operasi Daulat dijalankan.

Kejayaan Operasi Daulat juga dapat dilihat apabila 107 ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan 241 orang ditahan kerana memasuki zon merah kawasan operasi dan pelbagai kesalahan.

Ismail berkata di bawah NBOS, pasukan keselamatan dapat menyegerakan penggemblengan pelbagai aset daripada pelbagai agensi keselamatan dan membantu ke arah pelaksanaan Kawasan Keselamatan Khas Sabah (ESSCOM), yang meliputi 1,400 kilometer kawasan pantai timur negeri ini.

Pembentukan Kawasan Keselamatan Khas Sabah diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Mac untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur negeri itu, yang merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan
dan Lahad Datu, yang akan menjadi pusat pemerintahan ESSCOM.

Sejak krisis pencerobohan Lahad Datu, 12 Feb lepas, sembilan anggota pasukan keselamatan terkorban manakala seorang anggota tentera maut dalam kemalangan jalan raya ketika menyertai konvoi Operasi Daulat

Sumber
BERNAMA


SABAH SELAMA-LAMANYA SEBAHAGIAN DARIPADA PERSEKUTUAN MALAYSIA - PM


Kuala Lumpur, 19 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak sekali lagi menegaskan bahawa negeri Sabah selama-lamanya adalah sebahagian daripada Persekutuan Malaysia. 

Untuk itu, beliau berkata rakyat Sabah adalah warganegara Malaysia dan kerajaan akan tetap mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan dan keutuhan wilayah Malaysia daripada sebarang pencerobohan.

"Kita tidak akan membenarkan barang seinci pun bumi Malaysia dirampas oleh sesiapa. Inilah komitmen kerajaan yang ada hari ini," katanya ketika membentangkan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara di sini, hari ini.

Beliau berkata insiden keganasan di Lahad Datu, Sabah menjadi semboyan peringatan kepada negara agar tidak sekali-kali mengambil mudah soal keselamatan.

"Keamanan dan kestabilan yang berpanjangan tidak harus menjadi sebab ketumpulan tahap kita berwaspada.

"Tragedi ini telah pun mengorbankan nyawa 10 orang anggota pasukan keselamatan negara. Lapan orang daripada pasukan Polis Diraja Malaysia dan mutakhir dua anggota tentera," katanya.

Perdana menteri berkata pengorbanan pahlawan-pahlawan negara itu bukan kecil dan bukan untuk diperlekeh, sebaliknya hasil pengorbanan mereka sepertimana pada era darurat dan insurgensi membolehkan rakyat Malaysia menikmati kemajuan dan
kemakmuran sehingga hari ini.

Sehubungan itu, Najib mengingatkan pihak-pihak tertentu yang cuba untuk memperkecilkan sumbangan anggota keselamatan agar belajar mengenang budi dan berterima kasih atas jasa dan bakti mereka yang telah berjuang demi tanah air tercinta.

"Kenanglah ibu bapa yang meniti hari tua tanpa mereka lagi di sisi,
kenangilah isteri-isteri yang menjadi balu serta anak-anak yang kehilangan belai manja bapanya. 

"Kepada mereka kita berjanji bahawa negara ini akan sentiasa memuliakan bakti serta pengorbanan itu," katanya. 

Sumber
BERNAMA


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...