Bangga bunuh rakan.


Tahun lalu, TJ Lane, 18, didakwa melepaskan tembakan secara rambang di Sekolah Tinggi Chardon di Ohio, Amerika Syarikat hingga membunuh Demetrius Hewlin, 16, Russell King Jr, 17, dan Daniel Parmertor, 16, serta mencederakan dua yang lain iaitu Nick Walczak, 17 dan Joy Rickers, 18.

Rabu lalu, remaja ini didapati bersalah atas tuduhan membunuh tiga rakan sekolahnya dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa parol oleh Hakim David L Fuhry.
Bagaimanapun, sidang penghakiman terbabit mengejutkan ramai pihak, lebih-lebih lagi ibu bapa kepada mangsa amukan Lane.

Tanpa rasa bersalah, Lane hadir ke mahkamah dengan baju tertera ‘KILLER’ (pembunuh) yang menyatakan dirinya adalah pembunuh.

Lebih mengejutkan, Lane sentiasa tersenyum walaupun hukuman berat dijatuhkan ke atasnya. Tidak cukup dengan itu, remaja ini turut menunjukkan isyarat lucah kepada hadirin, termasuk ibu bapa mangsa yang ditembaknya.





Apabila diminta bercakap, Lane sekali lagi mengejutkan semua yang hadir, termasuk hakim dan ibu bapanya, apabila dia secara spontan memaki hamun ibu bapa mangsanya.

“Saya yang menembak mereka. Tangan ini yang menarik picu pistol menembak anak kamu. Jahanam kamu semua!” Kata-kata itu jelas membuatkan hadirin, terutama ibu bapa mangsa, kecewa dan berang dengan sikap remaja itu.

Keadaan di mahkamah menjadi tegang apabila ibu bapa mangsa mula menyuarakan rasa marah dan benci mereka kepada Lane. Rata-ratanya tidak dapat menerima keputusan bahawa ‘raksasa’ tidak berperasaan itu dibiarkan hidup.

Menurut Dina, ibu kepada Danny Parmertor, dia menangis setiap hari mengingati peristiwa terbabit.

“Setiap hari saya dalam kesakitan apabila mengenangkan peristiwa ini. Saya hanya mampu menangis,” katanya.

Menurut pendakwa raya James Flaiz, walaupun motif serangan dan pembunuhan tidak jelas, suspek yang melakukan serangan secara rawak sedar akan perlakuannya.

“Lihat saja kelakuannya hari ini. Dia langsung tidak menginsafi kesalahan dilakukannya. Malah, dia enggan memberitahu sebab utama dia mengamuk dan menembak beberapa rakan sekolahnya.

“Jelas, dia remaja bermasalah. Jadi, hukuman berat perlu dijatuhkan ke atasnya.

“Dia masih enggan memberi penjelasan mengapa dia membunuh dan mencederakan beberapa individu yang tidak bersalah. Yang boleh saya katakan, dia orang jahat dan tidak sepatutnya dilepaskan,” katanya.

Kelakuan Lane turut membuatkan hakim berang. Menurut Fuhry, Lane sengaja berbuat sebegitu untuk dikenali ramai lantas menjadikannya popular.

“Tragedi yang berlaku tahun lalu boleh diklasifikasikan sebagai amukan tanpa belas kasihan. Malah hari ini di mahkamah ini, tertuduh berperangai liar kerana mahu namanya dikenali dan ingin menjadi tajuk utama akhbar.

“Kerana perangainya yang tidak berperikemanusiaan serta tidak langsung menunjukkan tanda penyesalan atas kesalahan dilakukannya, saya menjatuhkan hukuman berat kepadanya kerana ia paling setimpal,” katanya.

Selepas perbicaraan, kakak Lane, Sadie, pula mengeluarkan kenyataan kepada media berikutan hukuman terbabit.

Menurutnya, bukan keluarga mangsa saja sedih atas tragedi itu, malah keluarganya turut bersedih dan bergelut dengan masalah itu.

“Ia mungkin sukar bagi sesetengah untuk memahami. Namun, saya menyukai adik saya. Saya berharap kehidupannya pada masa akan datang akan memberi makna kepada orang terdekat dengannya.

“Kami sekeluarga tidak tahu mengapa dia menjadi seperti itu. Namun, perkara sudah berlaku,” katanya.


INFO:

Umur: 18 tahun
Tuduhan: Serangan bersenjata dan membunuh
Lokasi kejadian: Sekolah Tinggi Chardon, Ohio, Amerika Syarikat

Mangsa: Demetrius Hewlin, 16, Russell King Jr, 17, Daniel Parmertor, 16, Nick Walczak, 17 dan Joy Rickers, 18

Fakta jenayah: Lane menembak secara rambang di kafeteria Sekolah Tinggi Chardon, menggunakan pistol jenis kaliber .22. Tiga pelajar terbunuh dan dua lain cedera parah. Rickers selamat daripada serangan tetapi Walczak kini disahkan lumpuh

Fakta kes: Tahun lalu, polis bersama Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menyiasat punca Lane melakukan serangan, namun motif utama masih belum dikenal pasti hingga sekarang. Suspek dihadapkan ke mahkamah juvana di Ohio atas tuduhan serangan bersenjata dan membunuh. Kini, selepas berusia 18 tahun, Lane dihadapkan di mahkamah awam dan dijatuhkan hukuman berat iaitu penjara seumur hidup tanpa parol

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...