LAHAD DATU STORY : Bayi dilahirkan dua jam sebelum pencerobohan



LAHAD DATU - Baru dua jam melahirkan bayi, seorang ibu terpaksa melupakan kesakitannya demi menyelamatkan bayi dan dua lagi anaknya daripada serangan pengganas militan yang menceroboh Kampung Tanjung Labian 3 Mac lepas.

Adawiyah Jannah Maulaha, 25, berkata beliau dan tiga anaknya itu menaiki lori bersama penduduk kampung lain selepas kampung mereka diserang pengganas militan dari Sulu itu.

"Masa tu suami berada di luar kawasan dan kami bertemu di pusat pemindahan ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Embara Budi di Felda Sahabat 17, dekat sini.

Adawiyah Jannah berkata beliau melahirkan bayinya pada pukul 6.30 petang dan ketika berehat kira-kira dua jam selepas itu, beliau mendengar penduduk kampung menjerit 'lari, lari'.

"Saya bergegas ambil bayi dan dua anak lagi terus keluar dari rumah dan menaiki lori. Semasa mula-mula tiba di sini, saya sedih dan menangis melihat keadaan kami ini, tapi bersyukur kerana selamat,” katanya sambil memberitahu bayi perempuan yang dilahirkan itu kini berusia 21 hari dan diberi nama Wan Mauleyanana Amanie Azzyati.

Beliau yang bersyukur kerana selamat daripada ancaman pengganas militan itu, bagaimanapun berkata mereka rindu untuk pulang ke rumah dan berharap ancaman pengganas Sulu dapat dihapuskan segera. - Bernama

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...