Drebar teksi disebat 10 kali

Gambar Hiasan


Seorang pemandu teksi menerima padah apabila dipenjara enam tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menyamun empat wanita dengan bersenjatakan sebilah parang dan pisau.

Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman itu terhadap Rosli Yusoff, 43, apabila tertuduh mengaku bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Abu Bakar menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan pertama dan keempat serta lima tahun dan tiga sebatan bagi pertuduhan kedua dan ketiga terhadap Rosli. Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.

Mengikut pertuduhan pertama, Rosli didakwa menyamun Nurashikin Mat Taib, 25, bersenjatakan sebilah parang dengan merampas wang tunai RM500 dan barangan lain di tepi jalan berhampiran Sunway Opal Damansara, Jalan PJU 3/27, Kota Damansara, di sini, jam 8.30 malam, 31 Januari lalu.

Mengikut pertuduhan seterusnya, dia juga didakwa menyamun Rafiah A Majid, 48, bersenjatakan parang dengan merampas barangan milik mangsa antaranya seutas gelang tangan di tepi jalan berhampiran Pangsapuri Carmila, Jalan Sepah Puteri 5/12, Kota Damansara, jam 8.55 malam, 30 Januari lalu. Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Rosli didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan.

Mengikut pertuduhan ketiga, Rosli bersama seorang tertuduh Azizi Jaafar, 36, didakwa melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan pisau terhadap R Intan Halimah R Mohd Jaafar, 34, dengan merampas barangan mangsa antaranya sebuah telefon bimbit, di dalam teksi di jalan berhampiran Pangsapuri Carlina, Jalan Sepah Puteri 5/1, Kota Damansara, jam 8.48 pagi, 26 Januari lalu.

Mengikut pertuduhan terakhir, Rosli dan Azizi didakwa melakukan kesalahan sama terhadap Wan Sharina Ahmad Tewfik Khalidi, 36, dengan merampas barang milik mangsa antaranya wang tunai RM2,000, dalam teksi sama di hadapan Center Point Bandar Utama, Persiaran Bandar Utama, Selangor, pada 9 malam, 21 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat jika disabit kesalahan.

Azizi mengaku bersalah terhadap pertuduhan keempat itu dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan dan memerintahkan hukuman dari tarikh tangkap 3 Mac lepas.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...