Isteri Mencari Keredhaan Suami



Seorang isteri solehah meletakkan matlamat suci dalam hidupnya demi mencapai keredaan suami. Dia akan menggunakan pelbagai cara untuk menambat hati suami agar sentiasa gembira dan ceria.

Hal ini termasuklah kerajinan dan kepandaiannya mengurus diri dan berhias untuk suami, memastikan penampilannya sentiasa menyenangkan, menjaga makan minum dan rumah tangga.


Benar sekali, senyuman meleret di wajah yang manis, dengan tutur bicara dialun dalam nada penuh mesra sambil memperagakan susun atur kegiatan harian berpaksikan kepatuhan beragama membuatkan hati si suami berasa tenang dan tenteram.

Namun, ia bukan semudah diucapkan. Sebab itu, seorang isteri perlulah belajar cara untuk menambat hati suami, termasuk aspek psikologinya supaya cinta yang bersemi dan kasih dipupuk terus mekar.

Seorang isteri perlu juga memahami emosi suaminya dengan turut mengambil kira faktor kesesuaian waktu dan cara untuk bertindak mengikut keadaan. Sifat cermat seperti ini dapat mengelakkan ketegangan.


Di sini elok juga rasanya kita berkongsi kisah bersama generasi sahabat yang terkenal dengan kegemilangannya. Contohnya membabitkan Sa’da iaitu isteri kepada Talhah bin Ubaidillah. Beliau pandai menguruskan diri dan bijak memahami sikap suaminya. Dalam erti kata lain, beliau sentiasa ambil endah akan perasaan suami, bertindak jujur dan ikhlas mengharapkan keredaan suami tercinta.

Diceritakan pada suatu hari, Sa’da mendekati suaminya kerana beliau melihat ada ‘awan mendung’ menyeliputi raut wajah Talhah. Oleh itu, beliau berasa sangat khuatir jika suaminya kurang senang dengan layanan dan cara menguruskan rumah tangga dilakukannya selama ini.

Sa’da berkata: “Wahai suamiku tersayang. Barangkali aku sudah melalaikan hakmu dan andai sememangnya begitu pada pandanganmu, aku memohon maaf. Aku berjanji tidak akan sekali-kali mengulanginya lagi.” Tersentak seketika Talhah mendengar kata-kata daripada isterinya itu. Talhah dengan segera berkata: “Bukan begitu sayangku. Kamu adalah pandangan hidup terbaik bagi seorang Muslim. Sebenarnya masalahku adalah kerana aku memperoleh sejumlah harta, tetapi tidak tahu apa yang harus aku lakukan.” Dengan sekuntum senyuman tanda lega di hati bahawa bukan kerana silapnya yang menyebabkan wajah duka nestapa suaminya. Kongsi duka suami Berkatalah Sa’da: “Wahai suami, apa lagi yang perlu kamu fikirkan? Panggillah kaummu dan bahagikanlah harta itu kepada mereka.” Tanpa membuang masa lagi, Talhah mengarahkan pembantunya sambil berkata kepadanya: “Kamu bahagikan harta ini kepada kaumku.” Cubalah teliti kisah itu. Sekiranya belum menemui pengajaran tersiratnya, cubalah baca sekali lagi, insya-Allah terbuka pintu hati kita dan menemui hikmah yang terkandung dalam kisah itu. Pertama, isteri Talhah berusaha mengambil tahu masalah dihadapi suaminya dan tidak membiarkan suami seorang diri memendam rasa.

Sa’da ternyata seorang isteri yang bersedih ketika suaminya bermuram durja, namun sebaik sahaja suaminya berjaya menyelesaikan masalah dihadapi dan mula gembira, beliau juga turut menunjukkan wajah riangnya.

Bukan sekadar itu sahaja, bahkan beliau terlebih dahulu memohon maaf sekiranya beliau menjadi punca rasa gundah dan gelisah suaminya. Dengan hati yang tulus beliau berjanji untuk memperbaiki kesilapan andai dirinya pencetus riak duka di wajah suaminya. Pengajaran kedua yang boleh kita kutip daripada kisah berkenaan ialah cara Sa’da tidak mementingkan diri dan keluarganya dalam urusan berkaitan harta benda keduniaan. Bayangkan kita, bagaimana agaknya? Barangkali kita akan minta harta yang diperoleh itu untuk keluarga kita sahaja. Buat apa hendak susah-susah membahagikannya kepada orang lain! Sa’da terbukti Muslimah solehah, pandai mengambil hati suami dan bijak memberikan nasihat, sehingga dengan itu dapatlah ia dibelanjakan pada jalan Allah. Sahsiahnya bersih daripada sifat kikir. Tidakkah ini satu ciri isteri yang hebat? Kita sekali lagi wajar belajar daripadanya, cuba mendidik diri supaya tidak kikir terhadap kemewahan dunia. Allah ada menjelaskan mengenai kelebihan bersedekah maksudnya: “Orang yang membelanjakan hartanya pada malam hari dan siang hari secara sembunyi-sembunyi ataupun terang-terangan, mereka akan beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan pada mereka dan mereka juga tidak akan berdukacita.” (Surah al-Baqarah, ayat 274) Nabi SAW juga sewaktu hayatnya aktif mendidik dan membimbing umatnya bersedekah tanpa adanya rasa takut kehilangan harta dimiliki. Baginda ada bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang sanggup mendinding dirinya daripada api neraka, walaupun dengan (bersedekah) separuh buah kurma, maka hendaklah dia lakukan.” (Riwayat Muslim) Mari kita kutip satu lagi pengajaran daripada kisah isteri Talhah tadi. Kali ini bersama kita ingat kembali akan kata-kata Talhah kepada isterinya, yang antara lain katanya: “Kamu adalah pasangan hidup terbaik bagi seorang Muslim.” Betapa indahnya kata-kata Talhah untuk isterinya dan sudah pasti akan terbit rasa sayang di hati isteri. Pengajarannya seorang suami itu perlu menyusun bicaranya, bukan dihamburkan kata-kata pedas bersalutkan sindiran yang akan melukakan perasaan isteri. Malah, sekiranya isteri kita bertanyakan masalah, janganlah pula secara sewenang-wenangnya menganggap dirinya suka campur tangan dalam urusan kita. Duduk sebumbung suka duka sama diharungi. Jaga tutur kata Ingatlah nasihat Imam al-Jauzi untuk isteri: “Sesungguhnya isteri yang baik, apabila mendapati suaminya soleh dan serasi dengannya, dia akan berusaha bersungguh-sungguh memperoleh reda suami dan menghindari perkara yang boleh menyakitinya kerana setiap kali dia menyakiti suami atau menunjukkan hal tidak disukai, ia mengakibatkan jemu suami dipendamkan di dalam hati. Tidak menutup kemungkinan ketika kesempatan tiba, suami akan meninggalkannya atau lebih mengutamakan perempuan lain.” Fikir dan renungilah pesanan Imam al-Jauzi ini wahai Muslimah bergelar isteri. Semoga rumah tangga dibina terus harmoni, aman dipancarkan sinaran kebahagiaan. Berusahalah mencapai reda suami kerana hanya itu jalan keberkatan dan menjadikan anda sebagai isteri solehah. Reda suami, redalah Allah.


Penulis ialah Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...