Pak Non meninggal dunia



Kota Bharu: Bekas Penolong Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Zainon Ahmad, meninggal dunia akibat komplikasi hati.

Zainon, 70, atau lebih dikenali sebagai Pak Non menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.25 petang semalam di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, di sini.
BH semalam melaporkan beliau dimasukkan ke hospital itu jam 4 pagi kelmarin selepas mengadu sakit di bahagian dada dan muntah berdarah.

Allahyarham meninggalkan balu, Hasnah Abdullah, 65 dan empat anak berusia antara 45 tahun dan 37 tahun serta 14 cucu.

Anak bongsu Allahyarham, Mohd Zahazan, 37, berkata jenazah bapanya akan dibawa ke rumah mereka di Jalan Bayam, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banggol, di sini, hari ini.

Mahu dikebumi sebelah kubur nenek

Katanya, bapanya pernah menyatakan hasrat untuk dikebumikan di sebelah kubur arwah neneknya di tanah perkuburan berkenaan sekiranya beliau meninggal dunia. “Selepas berbincang, kami sekeluarga setuju melewatkan urusan pengebumian bagi menunggu kepulangan kakak sulung saya, Zalinda, 45, yang dijangka tiba jam 10 malam ini.

“Jenazah bapa saya dijangka dikebumikan selepas Subuh esok (hari ini). Arwah tidak menunjukkan perlakuan pelik sebelum ini, hanya menyatakan hasrat untuk tinggal secara tetap di Kelantan.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah pada Khamis lalu di kediamannya di Subang Jaya, sebelum arwah pulang ke sini,” katanya ditemui di HRPZ II, di sini, semalam.

Allahyarham pernah menjadi guru selama tiga tahun sebelum menyertai dunia kewartawanan selama 35 tahun. Selepas bersara pada 2000 daripada NST, beliau menjadi Editor Politik akhbar The Sun sejak 2002.

1 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...