SEDIH : 'Tak tahu di mana ibu'



AMPANG: “Saya sendiri tidak tahu di mana ibu dan ayah berada. Kakak dan abang hilang entah ke mana. Mujur ada mak cik, dapat saya dan adik menumpang kasih,” kata Aina Basirah Azahar, 10, yang ditinggalkan ibu dan bapanya sejak empat bulan lalu.

Dia yang tinggal bersama ibu saudaranya bingung memikirkan masa depan selepas ibu bapa dan tiga adik beradik lain menghilangkan diri.

Ibu bapanya yang sudah bercerai sejak 2007 tidak lagi memperdulikan mereka menyebabkan masing-masing membawa haluan sendiri.

Bagi menampung kehidupan selepas ibu bapa bercerai, mereka lima beradik mengutip sampah serta menjual besi buruk untuk mencari sesuap nasi.

Beliau berkata, selepas bercerai, ibunya menghantar mereka lima beradik ke sebuah pusat jagaan kanak-kanak milik kerajaan di Manjoi, Perak kerana tidak mampu menjaga mereka lima beradik pada pertengahan 2008.

“Pada awal Januari lalu, kakak sulung saya yang berusia 15 tahun nekad melarikan diri mengikut teman lelaki dari pusat berkenaan manakala abang saya yang berusia 14 tahun yang turut ditempatkan di pusat sama terpaksa dihantar ke sebuah pusat pengajian agama di Golok, Thailand bagi memulihkan semula akhlaknya kerana terbabit dalam aktiviti tidak bermoral dalam bulan sama,” katanya ketika ditemui baru-baru ini di rumah mak ciknya di Ampang, di sini.

Sementara itu, ibu saudaranya yang mahu dikenali sebagai Fadillah, 40-an, berkata, dia menjaga tiga beradik berkenaan sejak awal tahun ini selepas dia mengambil keputusan menjaga mereka walaupun pada masa sama terpaksa menjaga ibunya yang terlantar sakit.

Katanya, dia menghadapi kesukaran mengawal pergerakan seorang daripada tiga anak saudaranya itu kerana nakal dan kerap menimbulkan masalah termasuk mencuri basikal milik jiran, malah menceroboh ke dalam kawasan Kem Wardieburn, Wangsa Maju.

“Berang dengan tindakan itu, saya memarahinya menyebabkan anak saudara itu yang berusia 12 tahun melarikan diri dari rumah dan gagal dikesan. Saya khuatir anak saudara itu bercampur dengan budak nakal dan terbabit dengan kegiatan tidak berfaedah,” katanya.

“Sebagai satu-satunya waris yang tinggal untuk menjaga mereka, saya cuba sebaik mungkin memastikan mereka mendapat pelajaran secukupnya tapi pengalaman hidup lampau mereka mempengaruhi setiap perbuatan seharian,” katanya.

Menurut Fadillah, dia hanya mahukan nasib anak saudaranya itu terbela dan sanggup menjaga mereka walaupun pada masa sama terpaksa menjaga ibunya yang terlantar sakit sejak tiga tahun lalu.

“Dengan adanya mereka di sini, dapat juga membantu saya menguruskan ibu kerana sejak kecil, hubungan mereka sangat rapat kerana pernah tinggal bersama,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Adnan Abu Bakar berkata, pihaknya menerusi pejabat JKM daerah Gombak sudah melawat rumah ibu saudara kanak-kanak berkenaan.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...