Terima kasih Rosberg



SEPANG - Pelumba Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton memuji rakan sepasukannya Nico Rosberg yang patuh terhadap arahan pasukan supaya tidak memintasnya untuk Hamilton meraih tempat ketiga pada Grand Prix Formula Satu Malaysia 2013, semalam.

Kepatuhan Rosberg dalam perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang membolehkan Hamilton menaiki podium pertama musim ini manakala Rosberg tempat keempat.

Hamilton berkata, pasukan memberikan arahan kepada Rosberg agar tidak memintasnya ketika kedua-duanya berada di posisi ketiga dan keempat ketika lima pusingan terakhir.

"Dia (Rosberg) mematuhi arah pasukan, saya kagum dengan sikapnya.



"Kami melaksanakan tugas dengan baik, saya gembira dengan podium ini," kata Hamilton.

Sikap yang dipamerkan oleh dua pelumba Mercedes AMG Petronas itu jauh lebih baik berbanding dua pelumba Red Bull Racing, yang mengingkari arahan agar tidak bersaing sesama sendiri yang melibatkan Mark Webber dan Sebastian Vettel.

Hamilton secara terbuka memberitahu sedia memberikan peluang buat Rosberg untuk meraih podium seandainya mereka berhadapan keadaan yang sama seperti semalam pada perlumbaan akan datang.

"Dia berkorban untuk saya, sudah tentu saya sedia memberikannya podium pada masa akan datang.

"Perlumbaan ini amat sengit bagi kami semua dan apa pun saya tetap puas dengan perlumbaan hari ini (semalam)," jelas Hamilton.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...