Vettel-Webber 'berperang'



SEPANG - Red Bull mendominasi Grand Prix Malaysia 2013 semalam apabila menawan kedudukan 1-2 podium menerusi Sebastian Vettel dan Mark Webber, namun kemenangan itu mencetuskan kontroversi sesama pelumba tersebut.

Vettel dan Webber berbalah ketika sidang akhbar kerana Vettel enggan mematuhi arahan pasukan supaya tidak menyaingi rakan sepasukannya itu.

Menerusi arahan pasukan, Vettel sepatutnya memberi laluan kepada Webber untuk memenangi saingan di Litar Antarabangsa Sepang, semalam.

Vettel berkata: "Sekarang semua orang menganggap saya budak jahat yang melakukan kesilapan. Saya minta maaf kepada Mark kerana tidak mengikut arahan pasukan. Hal ini antara saya dan Webber, biar saya sahaja yang menyelesaikan perkara ini.

"Saya tahu Mark kecewa tetapi saya perlu jujur walaupun tahu dia sukar untuk menerima penjelasan saya. Ini adalah kesilapan paling besar yang saya lakukan kerana gagal ikut arahan pasukan."

Vettel bertegas bahawa sekiranya berdepan dengan situasi serupa dalam perlumbaan lain, dia akan mematuhi arahan pasukan.

Ketika diajukan soalan serupa kepada Webber, pemandu Australia itu jelas gagal menahan kemarahannya terhadap Vettel.

Kata Webber, dia mengikut arahan pasukan, tetapi juara dunia itu pula bersikap sebaliknya.

"Pada asalnya saya mengikut kedudukan seperti yang diarahkan pasukan ketika kami mengawal perlumbaan dan saya juga sedia untuk memecut hingga ke garisan penamat.

"Pasukan memberikan arahan agar berhati-hati dengan keadaan enjin serta tayar dan jangan bersaing sesama sendiri," tegasnya.

Sejak awal perlumbaan, Vettel dan Webber saling bersaing untuk mendahului perlumbaan yang berkesudahan pemandu Jerman itu memenangi perlumbaan 56 pusingan dengan masa 1 jam 38 minit 56.681 saat.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...