Anggota Polis Parah Cium Pipi Lori Tangki.


Seorang anggota polis dari Balai Polis Kuala Pilah parah apabila motosikal ditunggangnya bergesel dengan lori tangki di Kilometer 2, Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir, dekat Kampung Gentam, di sini, semalam.

Sebelum itu, Lans Koperal Mohd Aswan Mohd Isa, 28, yang menunggang motosikal Yamaha LC dikatakan cuba mengejar lori tiga tan yang sebelum itu terbabit kemalangan kecil dengan kereta Honda Jazz dipandu seorang wanita, Norbini Abu Samah, 23, yang ditemani rakannya, Bachtiar Kamaruzzaman, 28, di depan pasar raya di Jalan Melang, dekat sini, jam 10.50 pagi.

Menurut Bachtiar, susulan kemalangan kecil itu, pemandu lori tiga tan terbabit berasa tidak puas hati dan memakinya menyebabkan pertengkaran kecil antara mereka.

“Pemandu lori beredar sebelum saya cuba mengejarnya dan pada masa sama menghubungi Balai Polis Kuala Pilah bagi mendapatkan bantuan,” katanya ditemui di Balai Polis Trafik, Jalan Melang.

Katanya, Mohd Aswan dikatakan cuba mengejar lori tiga tan itu dan sebaik tiba di selekoh di Kampung Gentam, anggota polis itu dikatakan cuba memintas lori terbabit, tetapi motosikalnya bergesel dengan lori tangki dari arah bertentangan dan hilang kawalan.

“Saya yang mengekori dari belakang melihat anggota itu terpelanting ke kereta saya manakala lori tiga tan itu terus memecut laju meninggalkan tempat kejadian.

“Saya memberhentikan kereta dan membantu anggota polis itu bersama orang awam,” katanya.

Menurutnya, anggota yang parah di kepala dan patah kaki kanan itu dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Pilah yang tiba tidak lama kemudian.

Kemalangan itu mengakibatkan kesesakan jalan raya lebih satu kilometer, namun dikawal polis yang menjalankan tugas di kawasan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Azmi Abdul Rahim mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...