Kaki judi ugut isteri, belasah anak di balai polis



Alor Gajah: Angkara ketagih berjudi, seorang lelaki pertengahan umur dipercayai tergamak membelasah dan mengugut isteri serta anak sulungnya menyerahkan wang di pekarangan Balai Polis Masjid Tanah, di sini, semalam.

Sebelum kejadian, suspek berusia 50-an itu dikatakan membelasah anak lelakinya berusia 21 tahun menggunakan topi keledar sebelum dihalang isterinya, jam 8 pagi.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila ibu remaja itu berusia 45 tahun yang juga warga Indonesia dikatakan enggan menyerahkan RM500 diminta suaminya.

Difahamkan, suspek yang tidak bekerja suka berjudi dan seringkali meminta wang daripada keluarganya sejak beberapa tahun lalu. Sumber berkata, pada pagi kejadian, mangsa menerima panggilan daripada ibunya mengatakan suspek membuat kecoh di tempat kerjanya di kedai makan di pekan ini.

“Remaja itu yang kebetulan dalam perjalanan ke rumahnya di Tanjung Bidara terus ke tempat kerja ibunya sebelum membawa wanita itu keluar dari kedai makan berkenaan. “Suspek yang tidak berpuas hati mengekori kereta dipandu anak bersama isterinya sehingga ke pekarangan Balai Polis Masjid Tanah,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, bapa mangsa terus meluru ke arah kereta anaknya yang berhenti di pekarangan balai polis lalu menariknya keluar sebelum membelasah remaja itu bertubi-tubi menggunakan topi keledar.

Katanya, ibu mangsa meminta bantuan daripada anggota di balai polis berkenaan menyebabkan suspek beredar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan laporan mengenai kejadian itu.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...