Koyak Menang ganti Gores Dan Menang



Menggunakan istilah koyak dan menang, satu sindiket penipuan dilaporkan mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit selepas memperdaya puluhan mangsa dengan menjanjikan pelbagai hadiah lumayan.

Difahamkan, kumpulan terbabit akan menghampiri mangsa di pusat beli-belah sebelum menawarkan sekeping baucar yang diminta dikoyakkan sebelum menjanjikan pelbagai hadiah lumayan.

Namun, hadiah dan barangan dimenangi mangsa sebenarnya barangan tiruan.

Modus operandi sindiket penipuan itu didedahkan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli yang berkata, taktik itu terbongkar dengan penangkapan 12 suspek membabitkan lapan lelaki dan empat wanita di sebuah restoran di Panglima Garang, Selangor, Selasa lalu.

“Sindiket ini menggunakan modus operandi memberi baucar pelbagai nilai seperti RM100 hingga RM1,000 bagi pembelian peralatan elektrik. Sebagai contoh, harga ditawarkan RM3,238 kepada mangsa dan mangsa cuma perlu membuat pembayaran sebanyak RM2,238 sahaja selepas ditolak jumlah baucar yang dimenangi.

“Suspek kemudian meminta kad ATM mangsa, kononnya bagi menyemak baki wang dalam akaun,” katanya memberitahu, duit milik mangsa akan dipotong secara langsung berdasarkan harga dijanjikan.

Yahaya berkata, semakan mangsa dengan bank kemudian mendapati potongan dibuat berhubung pembelian barangan elektrik.

“Biasanya suspek menyasar individu berusia antara 30 dan 60 tahun serta aktif di kawasan tumpuan ramai seperti pusat beli-belah Carrefour dan Mydin,” katanya menambah baucar akan diberi kepada mangsa yang hanya perlu mengoyaknya.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...