Langgar Isteri Pertama Demi Isteri Kedua.



Seorang suami sanggup bertindak kejam apabila cuba melanggar isterinya sendiri dengan kereta selepas dihalang wanita itu yang tidak membenarkannya keluar dari kediaman mereka di Subang Jaya menyebabkan mangsa cedera di kepala dan pinggang selepas terseret beberapa meter, Ahad lalu.

Kejadian itu dikatakan berpunca apabila lelaki berusia 40-an itu cuba keluar dari pangsapuri mereka selepas bertengkar dengan isterinya, berusia 40-an namun dihalang mangsa yang mengejarnya hingga ke tempat letak kereta.

Suami mangsa terus masuk ke dalam kereta dan tidak mempedulikan mangsa yang berdiri di hadapannya sebaliknya terus menekan minyak menyebabkan mangsa terpaksa mengelak ke tepi sebelum dapat memegang cermin sisi pemandu menyebabkan dia turut terseret sebelum terjatuh.

Akibatnya, mangsa cedera di kepala dan pinggang sebelum dibantu penduduk setempat yang melihat kejadian itu manakala suami mangsa terus memecut laju.

Mangsa yang cedera kemudian mendapatkan rawatan di klinik berhampiran sebelum membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya.

Sumber berkata, suami mangsa pada mulanya bertengkar selepas mangsa tidak berpuas hati dengan sikapnya yang berat sebelah dan melebihkan isteri kedua.

“Malah mangsa meminta suaminya itu tidak keluar ke mana-mana selepas mereka bertengkar sebelum dia masuk ke dalam bilik tidur untuk berehat.

“Bagaimanapun, tidak berapa lama kemudian anaknya masuk ke dalam bilik dan memberitahu bapa mereka telah keluar secara senyap-senyap,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang berang kemudian mengejar suaminya hingga ke tempat letak kereta sebelum melihat suaminya berada di dalam kereta dan mahu beredar.

“Tanpa berfikir panjang, mangsa terus berdiri di hadapan kereta dan meminta suaminya keluar namun tidak diendahkan sebaliknya lelaki itu terus menekan minyak dan cuba melanggar mangsa.

“Mujur mangsa sempat mengelak dan memegang cermin sisi sebelah pemandu dan menjerit supaya suaminya berhenti namun gagal sebaliknya lelaki itu terus memecut laju menyebabkan mangsa terjatuh dan terseret beberapa meter,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang kesakitan akhirnya melepaskan tangannya dan suaminya terus beredar walaupun menyedari isterinya terbaring di jalan raya.

“Wanita terbabit yang cedera di kepala dan pinggang kemudian dibantu penduduk setempat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

2 comments

sungguh tak patut betul

Reply

sabar itu penting dalam hubungan rumahtangga..

Reply

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...