PILU : Isteri Lihat Kematian Suami Depan Mata



Perjalanan seorang tukang masak pulang ke rumahnya berakhir tragedi apabila maut selepas motosikal ditungganginya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di persimpangan Jalan Thamby Abdullah di sini, awal pagi semalam.

Lebih memilukan apabila ketika kejadian, mangsa Ooi Tian Hock, 52, turut diekori isterinya berusia 40-an yang menaiki sebuah kenderaan lain.

Dalam kejadian jam 12.01 tengah malam itu, pasangan berkenaan dikatakan baru pulang dari sebuah restoran di Bukit Cina dan dalam perjalanan menuju ke rumah mereka di Pangsapuri Iskandar Shah.

Sumber berkata, sejurus tiba di persimpangan itu, sebuah Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 28 tahun yang mahu membelok ke kanan dipercayai bergesel dengan motosikal mangsa. “Berdasarkan siasatan awal, keadaan itu mengakibatkan mangsa yang berada di laluan bersebelahan hilang kawalan lalu tercampak dan terjatuh atas jalan.

“Mangsa yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya di sini, semalam.

Menurut sumber itu, mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka (HM) untuk dibedah siasat dan dituntut ahli keluarga untuk pengebumian.

Ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, pasangan itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka terletak berdekatan lokasi kejadian.

“Saya difahamkan mangsa ketika itu menunggang motosikal bersendirian di depan manakala isterinya menaiki sebuah kereta di belakang,” katanya. Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri Superintendan Ahmad Adnan Basri ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...