Tiada Ampun Untuk Puak Cantas Mencantas..



Pemimpin dan ahli UMNO yang mensabotaj calon Barisan Nasional (BN), akan dikenakan tindakan disiplin tanpa perlu menunggu Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) selesai.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO hanya menerima mereka yang taat kepada parti termasuk berpegang kepada aku janji dibuat untuk menyokong sesiapa saja calon yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Ada jawatankuasa pemantauan yang sudah dilantik bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen. Laporan akan dihantar terus ke ibu pejabat dan tindakan tidak akan ditunggu selepas pilihan raya, sebaliknya dibuat ketika pilihan raya berlangsung.

“Tindakan disiplin akan dilakukan kerana Pengerusi Jawatankuasa Disiplin (UMNO) sudah mengumumkan beberapa tindakan ditetapkan. Sukar untuk diterima mereka yang melakukan sabotaj sebab kita hanya menerima ahli parti yang taat setia saja,” katanya selepas menyampaikan bantuan sempena Majlis Mesra Rakyat di Kampung Sungai Batang di sini, semalam.

Beliau mengulas kemungkinan ada bekas wakil rakyat tertentu yang akan mensabotaj parti selepas tidak terpilih sebagai calon pada PRU-13.

Pertengahan bulan lalu, Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO Tengku Ahmad Rithauddeen, mengingatkan ahli mengelakkan sebarang perbuatan mensabotaj calon yang dipilih untuk bertanding dan jika berbuat demikian, tindakan tegas akan dikenakan ke atas mereka, termasuk menyingkir daripada parti ataupun menggantung keahlian mereka.

Justeru, katanya, setiap daripada mereka perlu akur kepada aku janji sebagai pemimpin dengan memberikan sokongan dan menghidupkan jentera parti untuk kemenangan cemerlang semua calon BN.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...