Chong Wei Tewas Lagi...



SKUAD badminton negara sekali lagi mendapat kejutan apabila pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei ditunjukkan jalan keluar pada aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Australia 2013 semalam.

Kekalahan itu menjadikan Chong Wei sebagai pemain ketiga negara yang tumpas kepada bintang muda China, Tian Houwei selepas tewas 19-21, 21-17, 18-21 pada aksi yang berlangsung di Sydney itu.

Pada perlawanan tersebut, Chong Wei juga sempat menguji Houwei untuk memenangi set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Ternyata Houwei juga tidak mahu mengalah apabila tampil lebih konsisten untuk mendominasi saingan set ketiga itu.

Chong Wei yang ketinggalan 14-19 pada akhir-akhir perlawanan, bangkit untuk merapatkan jurang, namun aksi yang berlangsung selama 81 minit itu ternyata memihak kepada pencabarnya.

Ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek berkata, Chong Wei menghadapi kesukaran pada perlawanan tersebut berikutan keadaannya yang masih belum cergas sepenuhnya walaupun sudah pulih daripada demam.

“Hari ini (semalam), lawan Chong Wei mempamerkan aksi yang sangat bagus dan dia tampil seperti pemain yang sangat berpengalaman, namun Chong Wei yang masih belum cergas sepenuhnya, rentak permainannya juga agak terjejas.

“Demam Chong Wei sudah baik tetapi persiapan dia untuk pertandingan ini agak terganggu ekoran masalah kesihatannya itu dan latihannya juga terpaksa dikurangkan,” kata Rashid.

Terdahulu, Houwei, 21, menewaskan Mohamad Arif Abdul Latif pada pusingan kedua, kemudian pemain ranking ke-196 dunia itu tampil dengan lebih konsisten untuk menyingkirkan Chong Wei Feng di suku akhir.

Rashid yang turut diminta mengulas kebangkitan pemain muda China tersebut yang mungkin akan menjadi penghalang utama perseorangan negara pada satu hari nanti berkata, penilaian seseorang pemain tidak boleh berdasarkan satu kejohanan sahaja.

“Memang benar permainan Houwei sudah meningkat tetapi kita tidak boleh menilai dia dengan melihat prestasinya dalam satu kejohanan sahaja,” tambah Rashid.

Pada aksi final hari ini, Houwei akan berdepan rakan senegaranya, Xue Song yang turut mara selepas menundukkan pemain Indonesia, Alamsyah Yunus 21-10, 18-21, 21-15 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Sementara itu, beregu profesional negara, Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari turut mengalami kekalahan selepas ditumpaskan pasangan Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 18-21, 18-21.

Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan akan menentang beregu senegaranya, Angga Pratama-Ryan Agung Saputra yang turut melangkah ke final selepas menewaskan pasangan Korea Selatan, Kim Dae Eun-Shin Baek Choel 21-9, 21-14.

2 comments

chong wei dah tak larat dah tu. patut skrng ni pelapis dah ambil alih tugas dia

Reply

yup.. sokong. sepatutnya ada muka2 baru yang gantikan dia..

Reply

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...