JDT Lemas, Layu Di Laman Sendiri.



JOHOR Darul Takzim (Johor DT) menempah laluan sukar dalam misi memburu tiket ke separuh akhir Piala FA apabila tewas 1-2 kepada Selangor pada aksi suku akhir pertama semalam.

Kekalahan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin itu juga menyaksikan rekod kebal Johor DT di gelanggang sendiri lebur.

Lebih malang, hajat skuad kendalian Fandi Ahmad itu untuk membalas dendam terhadap Selangor apabila dimalukan di Shah Alam dalam aksi Liga Super lalu, juga tidak kesampaian.

Pada aksi semalam, gol pembukaan Selangor dihasilkan melalui Mahalli Jasuli pada minit ke-14.

Johor DT mempunyai peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-17 namun percubaan Nurul Azwan Roya terkeluar daripada sasaran.

Masuk babak kedua, skuad bimbingan Fandi Ahmad sekali lagi mempunyai peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-55 setelah Safiq dijatuhkan di dalam kotak penalti namun sepakan Guiza berjaya ditepis Norazlan Razali.

Sebaliknya, Red Giants terus mengukuhkan kedudukan apabila menjaringkan gol kedua menerusi tendangan Mohd. Amri Yahyah pada minit ke-68.

Cubaan bertali arus Johor DT akhirnya membuahkan hasil apabila Mohd. Safee Sali menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-81.

Di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV Kota Bharu, juara bertahan, Kelantan menang tipis 2-1 ke atas Sarawak.

Pada aksi semalam, Kelantan memperoleh jaringan menerusi Mohd. Faiz Subri pada minit ketujuh sebelum Khairul Izuan Rosli menggandakan jaringan tuan rumah pada minit ke-20.

Gol Sarawak pula dihasilkan menerusi pemain tengah, Joseph Kalang Tie pada minit ke-49.

DI Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Terengganu memperolehi bekalan selesa untuk melangkah ke separuh selepas menundukkan Negeri Sembilan 3-1.

Meskipun ketinggalan satu gol menerusi jaringan Mohd. Nazrin Mohd. Nawi pada minit ke-77, ia nyata tidak menghalang skuad Penyu untuk mempamerkan persembahan cemerlang apabila penyerang import, Emmanuel Effa Owona menyamakan kedudukan pada minit ke-77.

Skuad kendalian E. Elavarasan terus menghukum kerapuhan benteng pertahanan Hoben Jang Hoben apabila meledak dua gol menerusi jaringan Abdul Manaf Mamat dan Ahmad Nordin Alias pada masa kecederaan.

Di Stadium Darul Makmur Kuantan pula, tuan rumah, Pahang sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan Sime Darby.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...